Isnin, 29 Mei 2017

Guru Dipenjara 34 Tahun Kerana Rogol Pelajar Tingkatan Tiga.

Guru terima padah, Mahkamah menjatuhkan hukuman Penjara 34 tahun kerana merogol pelajar sekolah berusia 15 tahun.

Menurut laporan Harian Metro, GURU lelaki ini dipenjara 34 tahun dan lapan sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan merogol pelajar tingkatan tiga, dua tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Nurhasliman Ghazali, 36, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun di rumah di Machang pada 7.30 malam, 23 April 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa di lokasi sama pada 1 pagi, 25 April 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - Harian Metro
loading...