Selasa, 2 Mei 2017

Hancur Luluh Hati Nenek Tengok Cucunya Diajar Jadi Militan IS

SYDNEY – Nenek yang hancur luluh melihat rakaman cucunya diajar untuk membunuh rakyat Australia menyelar si bapa, seorang militan IS, yang menggunakan cucunya sebagai “alat media”.

Rakaman yang menunjukkan Khaled Sharrouf mengajar anak lelakinya yang berusia 6 tahun, Hamze, di Syria bagaimana membunuh orang bukan Islam itu ditayangkan di Australia pada Ahad.

Kanak-kanak itu dilaporkan memegang senjata api dan pisau sambil membuat ancaman apabila suara di sebalik kamera bertanya kepadanya, “Bagaimana kamu bunuh rakyat Australia?”

Sharrouf – warga Australia pertama dilucutkan kewarganegaraan di bawah undang-undang anti-keganasan – menjadi berita utama antarabangsa pada 2014 apabila dia menyiarkan imej di Twitter menunjukkan seorang lagi anaknya memegang kepala terputus.

Nenek kanak-kanak itu, Karen Nettleton, yang anak perempuannya meninggalkan Australia ke Syria pada 2013 bersama keluarganya untuk menyertai Sharrouf tetapi dilaporkan meninggal dunia, berkata beliau berasa jijik melihat imej tersebut.

“Semua orang di luar sana akan melihat dan menganggapnya seorang pengganas kecil…Saya tidak tahu bagaimana ayahnya boleh melakukan perkara ini kepadanya. Saya benar-benar tidak faham, “katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia petang Isnin.

“Dia (Hamze) adalah seorang bayi bukan seperti mereka. Saya menidurkannya, menyanyikan lagu untuknya dan membawanya berenang.

“Ia menyakitkan saya kerana saya tahu dia hanya seorang budak lelaki berusia 6 tahun. Saya tahu apa yang dia suka. Saya berasa dia hanya digunakan sebagai alat media. ”

Nettleton berjuang selama 3 tahun untuk membawa kelima-lima cucunya – 3 lelaki dan 2 perempuan – kembali ke Australia, dan menegaskan IS belum menguasai pemikiran mereka.

“Mereka tidak sesat, mereka tidak dikuasai. Mereka hanya kanak-kanak, dengan bantuan yang betul mereka akan kembali ke pangkal jalan, “katanya.

ABC berkata video dirakam Sharrouf – yang pernah dikatakan terbunuh dalam 1 serangan – dengan tujuan untuk menjualnya kepada media Australia, tetapi tidak ada pembeli.

Ia disertakan dengan gambar yang menunjukkan kanak-kanak itu berdiri di hadapan mayat seorang lelaki berpakaian warna oren bersama 1 poster di sekeliling lehernya yang tertera dia pengkhianat, kata penyiar.

Menteri Undang-Undang Michael Keenan menyelar penggunaan kanak-kanak dalam propaganda pengganas sebagai “mengerikan”.

“Kerajaan Australia mengutuk tindakan mengerikan ini yang menggunakan kanak-kanak sebagai pembawa pesanan pengganas IS,” kata beliau pada hujung minggu, merujuk kepada apa yang dikenali sebagai IS.

Canberra menarik balik tahap amaran ancaman pengganas pada September 2014 dan memperkenalkan undang-undang keselamatan baharu di tengah-tengah kebimbangan terhadap serangan oleh individu yang didorong organisasi seperti IS.

Australia juga mengambil langkah pembanterasan terhadap warganya yang cuba terbang ke zon konflik termasuk Syria dan Iraq. – AFP
loading...