Selasa, 9 Mei 2017

Iran Ugut Serang Arab Saudi

DUBAI – Iran memberi amaran akan menyerang Arab Saudi habis-habisan kecuali Mekah dan Madinah jika negara itu bertindak ‘melulu’ berikutan kenyataan Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman yang mengugut mengalihkan ‘perang’ ke Iran.

Menurut Reuters, Menteri Pertahanan Iran, Hossein Deghan dengan nada sinis berkata, Arab Saudi beranggapan boleh bertindak sesuka hati memandangkan negara itu mempunyai pasukan tentera udara.

Beliau berkata demikian bagi merujuk situasi di Yemen yang menyaksikan kekerapan pesawat pejuang Arab Saudi menyerang kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran di Sanaa.

“Jika Arab Saudi bertindak melulu, kami akan pastikan tiada kawasan yang tidak disentuh kecuali Mekah dan Madinah,” tegas Hossein melalui sebuah program yang disiarkan oleh stesen te­levisyen Al-Manar, lapor Utusan.

Pada hari Selasa lalu, Putera Mohammed berkata, sebarang pertempuran untuk meluaskan pengaruh antara Arab Saudi dan Iran perlu dilakukan dalam Iran dan bukannya Arab Saudi.

Kedua-dua negara itu saling bersaing untuk meluaskan pengaruh di Asia Barat dan menyokong kumpulan yang bertempur dalam perang saudara di Syria.

Iran menafikan tuduhan Arab Saudi bahawa pihaknya menyalurkan kewangan dan senjata bagi menyokong kumpulan yang memusuhi Riyadh di seluruh benua Arab.

Kenyataan luar biasa Putera Mohammed yang disiarkan menerusi televisyen turut menolak sebarang dialog dengan negara tersebut dan berikrar melindungi negaranya daripada usaha Tehran untuk menguasai dunia Islam.

“Kami tahu kami adalah sasaran utama rejim Iran justeru kami tidak akan menunggu perang datang ke Arab Saudi tetapi kami akan berusaha mewujudkan perang di Iran,” katanya.-Suara.TV
loading...