Selasa, 9 Mei 2017

Jangan Panik Kalau Anak Kena Sawan, Buat 7 Cara Mudah Merawatnya

Ibu bapa selalu dinasihatkan supaya memantau suhu badan anak terutama bayi ketika demam. Ini kerana bimbang bayi atau kanak-kanak kecil mudah terkena sawan apabila mereka demam terutama bila suhu badan terlalu tinggi.

Siapa tak risau kalau anak demam apatah lagi memikirkan berisiko kena sawan. Ibu bapa sanggup buat apa sahaja bagi memastikan si kecil cepat sembuh tapi kadangkala sawan berlaku juga pada sesetengah anak. Apa sebenarnya punca sawan? Baca penjelasan tentang sawan dan cara menguruskan anak ketika kena sawan dalam facebook Root of Science berikut.

SAWAN KETIKA ANAK DEMAM MAMPU DIELAKKAN DENGAN PEMBERIAN UBAT DEMAM??

Sawan ketika demam merupakan perkara yang selalu berlaku kepada kanak-kanak. Penyebab kepada berlakunya sawan ini ketika demam masih lagi menjadi tanda tanya para saintis dan juga doktor perubatan.

Ada pendapat yang mengatakan disebabkan otak kanak-kanak masih belum matang, maka ia boleh mencetuskan maklumat yang bercelaru di dalam otak ketika mana suhu tinggi

Disamping itu ramai, dikalangan ibu bapa berpendapat bahawa kawalan suhu yang bagus dapat mengelakkan anak yang demam daripada terkena sawan. Oleh itu, ibubapa yang mempunyai sejarah anak sawan ketika demam akan kerap memberikan ubat demam kepada anak mereka ketika demam.

Tetapi tahukah anda, PEMBERIAN UBAT DEMAM TIDAK MAMPU MENCEGAH SAWAN?

Satu kajian telah dibuat pada tahun 2009 dan seramai 289 kanak-kanak yang pernah mengalami sawan ketika demam menyertai kajian ini. Keputusan kajian mendapati kebarangkalian kanak-kanak ini mendapat sawan adalah sama diantara kanak-kanak yang mengambil ubat demam ataupun tidak.[1]

Manakala pada 2013 pula, sekumpulan doktor perubatan menggabungkan 3 kajian mengenai ‘pencegahan sawan ketika demam dengan pengambilan ubat demam’. Kajian tersebut juga mendapati bahawa kegunaan ubat demam tidak mampu mengelakkan sawan daripada berlaku.[2]

Bermaksud, ambil ubat demam ataupun tidak jika sawan itu nak datang, ia pasti akan datang.

Kajian ini bukanlah membawa kesimpulan bahawa tidak perlu beri ubat demam kepada kanak-kanak. Tetapi ia menyatakan satu aspek yang lebih penting daripada kawalan demam iaitu PENGURUSAN ANAK KETIKA SAWAN.

Ini disebabkan sejauh mana kita kawal suhu kanak-kanak tersebut, ia tidak mempengaruhi langsung kebarangkalian kanak-kanak tersebut untuk mengalami sawan. Seperti yang saya katakan, jika sawan itu nak datang ia akan datang.

Oleh itu, ibubapa yang mempunyai anak-anak seperti ini perlu mempunyai ilmu asas untuk menguruskan anak yang sedang mengalami sawan.

Berikut adalah cara yang mudah untuk anda menguruskan anak anda ketika sawan:

1) Jangan panik: Sebagai Ibubapa, anda tidak perlu terlampau panik sehingga mana anda lupa langkah-langkah yang seterusnya. Jika lupa, anda mungkin akan membahayakan nyawa anak anda.

2) Lihat jam untuk mengetahui pukul berapa sawan itu bermula

3) Jauhkan pesakit daripada bahan-bahan ataupun kawasan yang berbahaya

4) Letak pesakit secara mengiring ke kiri: Sebenarnya jika anda lupa, mengiring sebelah kiri dan kanan pun tak kisah. Tetapi yang paling tepat adalah mengiring sebelah kiri. Ini kerana ketika sawan, lelehan air liur ataupun makanan boleh masuk ke dalam saluran trakea iaitu saluran paru-paru.

Air liur ataupun makanan ini boleh memasuki paru-paru melalui bronchus. Tetapi bronchus paru-paru sebelah kanan lebih lurus berbanding paru-paru sebelah kiri menyebabkan paru-paru sebelah kanan lebih senang dimasuki air liur ataupun makanan tersebut. Oleh itu, mengiring ke kiri adalah lebih baik ketika berlakunya sawan.

5) Dilarang untuk meletak barang di dalam mulut pesakit. Orang terdahulu menyuruh kita meletakkan sesuatu di dalam mulut ketika sawan berlaku. Tetapi didapati perbuatan itu hanya menerukkan lagi keadaan pesakit seperti gigi pesakit boleh patah dan pesakit tercekik, trauma pada lidah dan lain-lain lagi.

6) Sapu sebarang lelehan air liur daripada mulut pesakit. Ini untuk mengelakkan daripada saluran udara tersumbat dengan perkara tersebut

7) Jika sawan sudah berhenti, bawa terus ke jabatan kecemasan

Wajib pergi bawa terus pergi hospital jika

1) Muka pesakit menjadi biru

2) Sawan lebih daripada 3 minit.

3) Pesakit terus tidak sedarkan diri

Perkara yang kami katakan buka menunjukkan tidak perlu menggunakan ubat demam. Tetapi lebih kepada kefaham ibubapa berkenaan perkara ini dan pentingnya ibubapa tahu macam mana nak uruskan kanak-kanak yang sedang sawan.

Harap maklumat ini membantu anda

Sumber: Facebook Root of Science
loading...