Jumaat, 5 Mei 2017

Kes Rogol Libatkan Lebih 600 Ramaja Setiap Tahun Di Malaysia.

Lebih 600 juvana terlibat dalam kesalahan rogol setiap tahun, demikian menurut statistik jenayah yang disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Menurut statistik itu, 751 juvana terlibat dalam kesalahan rogol pada tahun 2014; 674 pada 2015 dan 691 pada 2016.

Data itu dipecahkan kepada empat kumpulan umur, iaitu mereka yang berumur antara tujuh hingga 10 tahun, 11 hingga 12 tahun, 13 hingga 15 tahun dan 16 hingga 18 tahun.

Pada tahun 2014, 588 daripada mereka yang disyaki melakukan kesalahan rogol berumur 16 hingga 18 tahun, 160 berumur 13 hingga 15 tahun dan tiga yang berumur 11 hingga 12 tahun.

Pada tahun 2015, sebanyak 525 daripada mereka yang disyaki melakukan kesalahan rogol, berumur 16 hingga 18 tahun, 144 berumur 13 hingga 15 tahun, empat berumur 11 hingga 12 tahun dan seorang yang berumur tujuh ke 10 tahun.

Tahun lepas, mereka yang berusia 16 hingga 18 tahun terlibat dalam rogol berjumlah 540 orang, diikuti dengan 142 untuk mereka yang berusia 13 hingga 15 tahun, tujuh untuk mereka yang berusia 11 hingga 12 tahun dan dua yang berumur tujuh hingga 10 tahun.

Data tersebut tidak menyatakan secara khusus sama ada kesalahan rogol termasuk rogol berkanun.

Statistik itu disediakan dalam jawapan bertulis Parlimen dari Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah mengenai penglibatan kanak-kanak dalam jenayah.

Secara keseluruhan, 2,907 juvana terlibat dalam jenayah ganas, termasuk rogol, pada tahun 2014, diikuti 2529 pada tahun 2015 dan 2,526 kes pada 2016.-Malaysiakini
loading...