Khamis, 11 Mei 2017

Kurang Promosi Punca Produk Saya Tidak Mendapat Sambutan - Ruhainies

Pelakon Ruhainies akui produk jenamanya sendiri kurang mendapat sambutan meskipun namanya kini sedang meningkat naik dalam industri hiburan.

Ruhainies atau nama sebenarnya Ruhainies Ferehah Zainul Ilyas, 25, berkata, dia lebih terdorong untuk menjadi duta produk keluaran syarikat lain kerana menggangap ia lebih menguntungkan.

"Saya sebenarnya sudah lama mempunyai produk sendiri iaitu 'Ruhainies Rosysecret' namun disebabkan tak ada masa membuat promosi produk tersebut kurang mendapat sambutan.

"Jadi saya mengambil keputusan untuk memberikan fokus dahulu sebagai duta produk kepada orang lain dulu kerana lebih mudah serta menguntungkan berbanding jual produk sendiri.

"Nanti bila saya sudah tidak lagi diperlukan sebagai duta, baru saya bercadang untuk teruskan kembali menjual produk sendiri.

"Namun buat masa sekarang biarlah saya fokus kepada lakonan dan menjadi duta dahulu kerana kekangan masa menyebabkan saya sukar untuk melakukan semua kerja dalam satu masa," katanya kepada Astro Gempak.

Ruhainies berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara syarikat produk kecantikan dan kesihatan Cantik Dara Sdn Bhd dengan Spektra Selasih Sdn Bhd, baru-baru ini.

Sementara itu bercerita mengenai karier lakonan, Ruhainies berkata dia bersyukur kerana menerima banyak tawaran dan menggangap perkara itu sebagai rezeki untuknya.

"Saya baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama Menantu Bilal bagi siaran Ramadan ini dan akan kembali menjalani pengambaran untuk beberapa drama selepas Ramadan.

"Saya bersyukur kerana banyak menerima tawaran pada tahun ini dan ia mungkin rezeki yang telah ditetapkan kepada saya," ujarnya. Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi - Astro Gempak
loading...