Selasa, 23 Mei 2017

Lelaki Terima Padah, Dakwa Pesawat Pejuang Korea Gugur Bom Di Muar.

Polis telah mendapatkan tempoh permohonan reman terhadap seorang warga emas yang dipercayai bertanggungjawab dalam penyebaran rakaman suara berkaitan pesawat pejuang milik Korea Utara yang kononnya merancang menggugurkan sebutir bom di daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, tempoh tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini dikeluarkan selepas mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret.

“Tempoh reman bermula Selasa sehingga Khamis ini akan digunakan bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kes terbabit.

“Suspek berusia 60 tahun dan tidak bekerja itu kini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang boleh memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika ditemui.

Menurut Azman, suspek sebelum ini telah ditahan di kediamannya di sekitar bandar ini pada jam 12 tengah hari, semalam, selepas isu tersebut menjadi tular di aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa polis giat mengesan seorang suspek yang merupakan pemilik dalam rakaman suara yang mendakwa beberapa jet pejuang milik Korea Utara berlegar di sekitar Muar dan Pagoh berniat menjatuhkan bom di kawasan ini.

Bagaimanapun, hasil tinjauan mendapati pesawat pejuang tersebut adalah milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan, Pahang yang hanya membuat latihan penerbangan rendah di daerah ini.-Sinar Harian
loading...