Isnin, 1 Mei 2017

Menteri Hadiahkan Kayu Kepada Pengantin Perempuan Buat Suami Takut.

Seorang menteri wilayah di India ‘menghadiahkan’ beratus-ratus kayu kepada para pengantin perempuan yang baru berkahwin, dan menggesa mereka supaya menggunakannya sebagai senjata jika suami mereka menjadi mabuk atau mendera mereka.

Encik Gopal Bhargava memberikan kayu-kayu tersebut – yang digunakan untuk mengeluarkan kotoran dari baju di tempat tradisional bagi mencuci pakaian – kepada 700 mempelai perempuan dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai, yang dianjurkan oleh pemerintah wilayah tengah Madhya Pradesh pada Sabtu lalu.

Kayu yang sepanjang sekaki itu juga dihiasi dengan mesej yang berbunyi; “Untuk memukul orang yang mabuk” dan “Polis tidak akan masuk campur”.

Encik Bhargava memberitahu AFP bahawa beliau mahu menarik perhatian kepada nasib malang wanita kampung yang terpaksa berdepan dengan penderaan domestik dari suami mereka yang kaki botol.

“Para wanita berkata setiap kali suami mereka mabuk, mereka bertukar menjadi ganas. Wang simpanan mereka juga dirampas dan digunakan untuk membeli arak,” katanya.

“Tiada niat untuk menggalak wanita atau menghasut mereka ke arah keganasan tetapi kayu itu adalah bagi mencegah keganasan.”

Menteri berkenaan sudahpun mengarahkan hampir 10,000 batang kayu untuk dibahagi-bahagikan kepada para wanita yang baru berkahwin.

Banyak wilayah di India juga sudah melancarkan operasi terhadap penjualan arak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sama ada untuk mengharamkan atau menyekat penjualannya dalam percubaan untuk mengekang keganasan berpunca daripada keadaan mabuk.
loading...