Jumaat, 12 Mei 2017

Nafi Sumbang Mahram Dengan Anak Tiri Berusia 15 Tahun.

LELAKI pekerja landskap didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak tirinya yang kini berusia 15 tahun.

Tertuduh, 37, dituduh melakukan kesalahan itu pada Februari 2015 dan Mac lalu di dua lokasi berasingan di Ipoh dan didakwa mengikut Seksyen 376 B (1) Kanun Keseksaan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapi dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Chiang Mei Wan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Pihak pendakwaan membantah sebarang jaminan diberi kepada tertuduh kerana kes berkenaan membabitkan mangsa yang juga anak tirinya dan dikhuatiri tertuduh akan mengganggu mangsa.

Tertuduh dalam rayuannya memaklumkan perlu menanggung isteri berusia 26 tahun dan memohon jaminan diberikan.

Norashima tidak membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan 13 Jun ini bagi sebutan kes dan serahan dokumen.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.-Harian Metro
loading...