Isnin, 15 Mei 2017

Pandikar Tawar Diri Jadi Calon Barisan Nasional

Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan dirinya mempunyai pengalaman yang cukup untuk menjelaskan isu-isu berbangkit kepada rakyat jika dipilih sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, sejak sembilan tahun menjawat jawatan speaker Dewan Rakyat, beliau kini lebih memahami pelbagai isu yang sering dibangkitkan oleh kerajaan dan pembangkang pada persidangan dewan.

“Kalau saya menawarkan diri saya begitu (menjadi calon pilihan raya umum), barangkali sayalah yang paling sesuai kerana telinga saya yang sudah mendengar hujah daripada kerajaan, daripada pembangkang selama sembilan tahun mengenai isu global, isu domestik, isu nasional.

“Kalau saya dibenarkan untuk berpolitik kembali, di peringkat akar umbi yang paling penting ialah apabila kita faham isu-isu yang dibangkitkan, kita dapat memperjelaskan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Kota Belud dan Program Negaraku@Komuniti di sini hari ini.

Sambil berseloroh mengenai umur sebenarnya, Pandikar Amin, 60-an, berkata usia seseorang bukan penghalang kepada usaha memajukan dan memakmurkan rakyat keseluruhan.

Malah, beliau berkata kepelbagaian cara setiap pemimpin yang berpengalaman boleh dianggap sesuatu yang baik untuk negara.

“Contohnya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, seorang pemimpin yang lama berkhidmat di Semenanjung dan lama berkhidmat di Sarawak dan berumur pula.

“Tetapi apabila Allahyarham balik ke Sarawak sebagai ketua menteri, dengan gayanya yang tersendiri oleh kerana sarat dengan pengalaman, Barisan Nasional menang balik kawasan-kawasan yang dimenangi oleh DAP dulu pada pilihan raya negeri,” katanya.

Pandikar Amin mengakui berminat untuk kembali ke dunia politik di Sabah, tetapi menyerahkan kepada pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional untuk menentukan sama ada beliau sesuai dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang sama ada untuk kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

“Itu adalah hak pucuk pimpinan parti…. saya cuma menawarkan diri,” katanya.-Malaysiakini
loading...