Rabu, 10 Mei 2017

Pengantin Meninggal 30 Minit Sebelum Nikah

PALEMBANG: Tiada siapa yang pernah meminta majlis akad nikah yang dirancang, bertukar menjadi satu majlis pengebumian.

Namun itulah yang berlaku kepada sebuah keluarga di Palembang, Indonesia, apabila pengantin perempuan, Elsa Putri Julita, 20, meninggal dunia hanya 30 minit sebelum akad nikah dijadual berlangsung.

Segalanya bermula apabila Elsa yang sepatutnya bernikah dengan pasangannya, Darmadi, 19, pada Ahad, mengadu sakit di bahagian dada dan sesak nafas.

Tidak lama kemudian dia rebah, namun masih dalam keadaan sedar. Ketika itu akad nikah akan bermula dalam masa dua jam.

"Dia segera dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia.

"Dia tidak pernah sakit. Dia sihat walaupun menjelang majlis akad," kata bapanya, Dwi Syahrial, 47, memetik laporan portal Indonesia.

Ibu kepada allahyarham, yang hanya mahu dikenali sebagai Yuliana berkata anak perempuannya itu sempat memohon maaf dan mengadu 'sudah tidak tahan lagi' sebelum meninggal dunia di pangkuannya.

Yuliana juga memberitahu bahawa anaknya itu kelihatan manja seminggu sebelum melangsungkan perkahwinan, sehingga mahu tidur bersama dia dan suami dengan alasan selepas ini dia tidak dapat tidur dengan mereka lagi.

Ketika Elsa mengadu sakit, rombongan pengantin lelaki belum tiba ke rumah pengantin wanita.

Selepas beberapa jam, keluarga pihak lelaki dan perempuan berkumpul untuk upacara pengebumian.-mStar Online
Gambar pra-perkahwinan Elsa dan Damardi.
loading...