Ahad, 7 Mei 2017

Pihak Berkuasa Digesa Cari Segera Individu Hina Umat Islam

SHAH ALAM – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap pemilik Facebook Anna Ong Iye Lung yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina umat Islam di Facebooknya, semalam.

Difahamkan, status Facebook itu dikeluarkan sebagai respons kepada insiden pergaduhan jemaah sebuah masjid dengan seorang pemandu Toyota Camry yang tular di media sosial.

“Tindakan menggelar umat Islam sebagai pengganas tanpa meneliti kejadian sebenar adalah satu tindakan bukan saja biadab malah boleh membawa kepada perbalahan kaum atau agama.

“Beliau sepatutnya mengambil iktibar terhadap insiden sebelum ini membabitkan beberapa individu bukan Islam yang menghina umat Islam di Malaysia dengan perbuatan provokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Status Facebook tersebut mula tular di laman sosial di mana ia mendatangkan kemarahan kepada umat Islam di seluruh negara.

Sinar Online cuba mendapatkan maklum balas daripada pemilik akaun itu, bagaimanapun akaun tersebut telah ditutup sejak malam tadi.

Sebuah video tular di media sosial yang memaparkan keadaan kecoh di sebuah masjid selepas solat Jumaat semalam.

Memetik kenyataan di laman Facebook Malaysian Response Team, video kekecohan itu dikatakan berlaku di Masjid Austin Perdana Johor Bahru.

Difahamkan, kekecohan timbul gara-gara tindakan pemilik sebuah kereta membunyikan hon ketika jemaah sedang menunaikan solat Jumaat.

“Tindakan tegas perlu diambil dan perkara sebegini tidak boleh dibiarkan wujud demi keamanan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya lagi. – Sinar
loading...