Selasa, 9 Mei 2017

Polis Cari 7 Lelaki Kes Bunyikan Hon Di Dapan Surau.

Johor Baharu – Polis sedang mengesan tujuh lelaki bagi membantu siasatan lanjut kes memukul seorang pemandu yang membunyikan hon ketika solat Jumaat, di hadapan Surau Austin Perdana, dekat sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata setakat ini polis sudah mengenal pasti tujuh lelaki terbabit yang berusia lingkungan 20 hingga 50-an dan mahu mereka tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

“Kerjasama mereka diperlukan supaya kita dapat menjalankan siasatan yang benar-benar adil dan tidak berat sebelah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sulaiman berkata, sebelum ini pihaknya menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, namun semua mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Kejadian sekumpulan jemaah masjid yang dilihat memukul seorang lelaki selepas solat Jumaat, dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati apabila pemandu itu membunyikan hon ketika jemaah sedang solat.

Dua video mengenai kejadian itu menjadi viral di laman sosial. – BH Online
loading...