Selasa, 16 Mei 2017

‘Saya Malu Nak Ke Sekolah Sebab Tiada Hadiah Untuk Cikgu’

Ketika menjadi pengetua sekolah dulu, suatu pagi seorang imam masjid yang saya kenal telah menelefon saya. Katanya ada seorang budak sekolah di masjid, macam ponteng sekolah. 

Hari itu merupakan hari guru 16 Mei, pelajar dan guru tidak berada dalam kelas tetapi di dewan dan kawasan lapang meraikan sambutan hari guru.

Saya bergegas ke masjid yang disebut. parking kereta agak jauh di sudut masjid. Saya mula meninjau ke masjid. Tidak ada di balai lintang, saya melangkah ke ruang solat. 

Tidak ada juga. Tapi ketika beralih ke bahagian muslimat, saya melihat seseorang dan saya segera ke bahagian itu dan memang ada seorang pelajar perempuan.

Dia terkejut melihat saya serta bibirnya gemetar mengucap salam pada saya. Tangannya meraup sejadah lalu dipeluk ke tubuh seperti seorang anak yang takutkan orang tua yang garang.

Dia segera berdiri menghormati saya tetapi saya suruh duduk. Saya kenal pelajar ini kerana dia pernah naik menerima hadiah keunggulan di pentas.

"Kenapa ponteng sekolah? Sedangkan awak pelajar terbaik?"

"Tak ada apa cikgu," jawabnya.

Saya tidak puas hati kerana ini bukanlah tabiatnya. Saya terus mendesak dia bercakap benar.

Matanya mula berair bila dia memulakan bicara lagi. Saya tahu, dia akan berkata benar.

"Pak, saya malu nak ke sekolah hari ini kerana saya tidak ada hadiah untuk diberikan kepada guru sempena hari guru. Ayah tak ada duit untuk beli hadiah kerana waktu ini tengah bulan . Ayah saya kerja jaga, emak pula sudah meninggal, "katanya teresak-esak.

"Pak, saya malu ditanya oeh kawan-kawan apa hadiah yang dibawa untuk cikgu. Lebih malu lagi bila ada yang bertanya, 'Nurul tak bawa hadiah ke?' dan itulah yang terjadi pada tahun lalu, "air matanya deras mengalir di pipi dikesat dengan kain tudungnya yang sedikit lusuh.

Saya turut merasa sedih dan tidak terucap kata.

Saya menghantarnya pulang ke rumah. Dalam perjalanan fikiran saya berkecamuk. Ternyata kegembiraan hari guru dan sambutannya telah menyakiti hati seorang insan bergelar pelajar. 

Malah saya yakin lebih banyak lagi pelajar yang miskin merasa gundah, resah bila tibanya hari guru.

Menjadi kelaziman hari guru 16 Mei disambut oleh pelajar dengan memberi hadiah kepada guru di samping program sekolah. 

Memanglah itu sesuatu yang baik, tetapi banyak orang tua yang miskin, kurang mampu, menghadapi situasi serba salah bila anak merengek meminta dibelikan hadiah, tak mahu ke sekolah tanpa hadiah.

Yang kaya meminta hadiah yang lebih baik untuk mengatasi kawan-kawan. Anak yang telah besar di sekolah menengah mungkin tidak mendesak, tapi memilih jalan lain untuk menghindar, memendam rasa. Namun, siapa yang peduli?

Maka adalah lebih baik jika hadiah kepada guru itu tidaklah diberi penekanan, kerana dapat disalah gunakan untuk meraih perhatian guru dan jika dibuat, biarlah secara tertutup. 

Bukan dalam kelas yang akan menyebabkan pelajar lain terasa. Maksudnya hadiah pada guru biarlah diserahkan sendiri di bilik guru. 

Bagi sekolah di luar bandar yang ibu bapa mereka berpendapatan rendah, lebih-lebih lagilah hal ini perlu diberikan perhatian.

Faktanya, pelajar yang baik bukan memberi hadiah kepada gurunya tetapi melayani gurunya, berkerjasama dan patuh pada semua perintah.

Hari guru sebaiknya disambut dengan ungkapan rasa syukur kepada Allah, bukan diungkapkan dengan bersenang-senang suka. 

Mungkin olahraga, sukaneka itu baik untuk mengeratkan hubungan tetapi saya tidak nampak di mana baiknya cikgu naik melalak menyanyi di pentas, murid menyanyi, menari, bergelek bagai. 

Mungkin acara yang mendidik seperti acara tahlil, bacaan yasin, solat hajat dan sujud syukur, kenduri satu sekolah, explore race yang bersifat pelajaran dan sebagainya lebih sesuai.

Guru harus bersykur kerana ada pekerjaan, ada murid. Murid harus bersyukur kerana ada guru yang mendidik. Ibu bapa patut bersyukur kerana ada yang mengambil tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka.

Marilah kita berubah bila menyambut sesuatu perayaan dari bersenang-senang serta bersuka ria kepada ungkapan rasa syukur kepada Allah. 

Kepada ibu bapa, minta anak menghadiahkan hari guru dengan janji untuk menjadi pelajar yang baik, taat, bertanggungjawab dan disiplin, itu lebih bererti kepada seorang guru dari sekotak hadiah.


Dari kisah yang saya paparkan, jangan kita melihat sesuatu dari satu sudut, dari situasi dan pandangan kita saja, tetapi berfikirlah dari berbagai sudut. 

Baik pada kita, mungkin melukai perasaan orang lain. Selalulah berfikir agar kita tidak menyusahkan orang lain, sebaliknya selalulah berusaha untuk menyenangkan orang lain. Kelak di akhirat Allah gembirakan kita. Wallahu a'lam. – Abd Ghani Haron-tip&infomasiterkini
loading...