Khamis, 11 Mei 2017

Saya Minta Maaf, Tak Berniat Jahat - Toh

Pemandu lelaki yang mencetuskan insiden kekecohan di Surau Austin Perdana, baru-baru ini tampil meminta maaf kepada umat Islam di negara ini sambil menegaskan tidak berniat untuk menimbulkan ketegangan kaum.

Hadir dalam majlis pertemuan di pejabat Agama Islam Johor dengan balutan di leher akibat cedera dalam insiden tersebut, Toh Chai Eun, 28, berkata, pihaknya turut berharap perkara itu tidak berpanjangan.

“Saya tidak berniat jahat atau ingin menyinggung perasaan dengan membunyikan hon kereta pada masa itu, apa yang berlaku pada waktu itu kerana saya telah terperangkap dalam kesesakan jalan di situ dan dalam urusan penting.

"Ini menyebabkan kereta saya diserang dan dirosakkan dan saya juga mengalami kecederaan.

"Saya juga berharap semua pihak tidak lagi memanjangkan isu ini menjadi lebih besar dan maksud yang sampaikan iaitu keamanan dan keharmonian antara semua kaum di Malaysia," kata Toh lagi, memetik laporan Sinar Harian.

Permohonan maaf Toh yang cedera di leher, kaki dan badan sehingga membataskan pergerakan dan percakapan itu dibacakan oleh wakilnya, Mahadzir Abu Said.

Toh yang bekerja sendiri ditemani abangnya hadir dalam perjumpaan tersebut yang turut disertai oleh ahli jawatankuasa surau terlibat, Pengerusi Agama, Mutalip Abdul Rahim dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut.

Mengulas lanjut, Toh menambah, pihaknya berharap tiada mana-mana pihak yang memanjangkan perkara itu dengan apa jua niat.

“Diharap selepas kenyataan ini, saya tiada lagi ulasan dan cerita mengenai kejadian tersebut di media untuk tujuan menghasut rakyat dan menjejaskan perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian negara,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi surau itu, Mohd Khaiidzir Ismail berharap kes berkenaan dapat diselesaikan dengan keseluruhannya.

"Kami mengucapkan terima kasih atas pertemuan ini yang sememangnya tidak dijangka meskipun perkara ini berlaku diluar surau, kami sebagai jawatankuasa telah mengambil langkah-langkah yang perlu,” katanya.

Dalam insiden pada Jumaat yang lalu, Toh dipukul kerana bertindak membunyikan hon di hadapan surau Austin Perdana menyebabkan sekumpulan jemaah surau berasa marah dan merosakkan kereta yang dipandunya.
loading...