Khamis, 4 Mei 2017

Sultan Johor Selar Akhbar ‘Bungkus Nasi Lemak’

PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini membidas sebuah akhbar kerana mempersoalkan kuasa istana dalam Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor yang diluluskan 3 tahun lalu.

Dalam ucapannya disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam pembukaan penggal kelima persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13, baginda mempersoalkan berita muka depan akhbar itu yang mempersoalkan peranan yang diberikan kepada sultan dalam enakmen tersebut.

“Malah ada juga pengamal media yang cetek akal turut mempersoalkan wajarkah kuasa raja diberikan dalam enakmen tersebut…

“Bagi saya surat khabar seperti ini sudah tiada nilai dan hanya layak dijadikan pembungkus nasi lemak sahaja,” katanya.

Walaupun tidak menamakan akhbar yang dimaksudkan, Utusan Malaysia pada 2014 pernah menerbitkan artikel muka depan dengan tajuk besar “Wajarkah” bersama gambar Sultan Ibrahim, ketika isu penglibatan istana dalam soal hartanah menjadi perdebatan hangat.

Artikel itu antara lain mempersoalkan peruntukan rang undang-undang enakmen itu yang membolehkan sultan membubar dan melantik ahli Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor.

“Rang undang-undang tersebut jika diluluskan akan menjadikan Johor sebagai negeri pertama memberi kuasa kepada sultan terlibat dalam pentadbiran kerajaan,” menurut artikel bertarikh 6 Jun, 2014.

RUU itu diluluskan DUN Johor pada tahun itu selepas beberapa pindaan menyentuh kuasa sultan.-freemalaysiatoday.com
loading...