Selasa, 2 Mei 2017

Video: 2 Remaja Mati Dipukul Disyaki Curi Lembu,

NEW DELHI – Dua remaja lelaki meninggal dunia selepas diserang oleh penduduk kampung kerana disyaki mencuri lembu dalam kejadian terbaharu melibatkan haiwan yang dianggap suci oleh penganut beragama Hindu, lapor pihak berkuasa semalam.

Menurut AFP, polis berkata, mereka telah membuka kertas siasatan kes pembunuhan melibatkan kematian Abu Hanifa dan Riyazuddin Ali yang telah dipukul dengan kayu, kelmarin, lapor Utusan.

Ketua Polis daerah Nagaon, negeri Assam, Debaraj Upadhyay turut mengesahkan dua suspek telah ditahan untuk disoal siasat berhubung kes tersebut.

“Mereka dikejar dan dipukul de­ngan kayu oleh penduduk kampung yang menuduh kedua-dua kanak-kanak lelaki itu cuba mencuri lembu dari padang ragut mereka.

“Mereka telah dikejarkan ke hospital lewat malam itu namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia akibat cedera parah,” jelas Debaraj kepada agensi berita AFP melalui telefon.

Insiden itu berlaku ketika ke­tegangan semakin memuncak aki­bat pembunuhan dan penyeludupan lembu dalam kalangan penduduk majoriti beragama Hindu di mana haiwan itu dianggap suci dan aktiviti penyembelihan dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh dihukum di kebanyakan negeri.

Beberapa serangan oleh kumpulan yang mendakwa melin­dungi lembu berlaku bulan lalu dan mereka dilaporkan berkeliaran di kawasan lebuh raya untuk memeriksa trak ternakan yang membawa haiwan berkenaan.

Pengkritik berkata, tindakan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap kenyataan Perdana Menteri India, Narendra Modi yang memberi amaran untuk mengenakan tindakan tegas ter­hadap mereka yang menggunakan agama bagi melakukan jenayah.

loading...