Jumaat, 12 Mei 2017

Video: Pengunjung Cemas Pasaraya Giant Di Ipoh Terbakar

IPOH – Pengunjung Pasaraya Giant Bandar Sunway Ipoh di sini cemas apabila bahagian jualan kain, bantal dan tilam terbakar petang Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh P. Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 3.45 petang sebelum 18 anggota dan tiga jentera dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba 10 minit kemudian, api masih menyala selain asap semakin menebal di dalam premis dan kebakaran hanya dapat dipadamkan selepas 21 minit,” katanya, Khamis.

Anggota bomba kemudiannya membuat pengudaraan bagi memastikan asap keluar sepenuhnya dari premis tersebut dan operasi tamat kira-kira 6.48 petang.

Seorang peniaga di premis berkenaan, Nurul Balqis Rohana, 30, berasa terkejut kerana walaupun api marak, orang ramai didapati lebih sibuk menangkap gambar daripada menyelamatkan diri.

“Bila pihak pasaraya membuat pengumuman baru mereka keluar dari bangunan, sebelum itu mereka hanya sibuk menangkap gambar atau ambil video. Saya takut kalau kejadian lebih buruk berlaku kerana kebakaran itu dekat dengan bahagian barangan elektrik,” katanya.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden yang mengakibatkan tiga rak musnah terbakar itu dan punca kejadian masih disiasat. – Bernama
loading...