Selasa, 6 Jun 2017

Bekas Pensyarah Dakwa Buli dan Dera Perkara Biasa Di UPNM

Berikutan kematian penuntut UPNM, seorang bekas tenaga pengajar di institut berkenaan telah tampil memberikan kenyataan yang mengejutkan masyarakat serta pendedahan beliau itu paling tidak di sangka masih wujud kes-kes buli sedemikian.

Susulan kematian mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain pada Khamis lalu dipercayai didera, sehingga kini seramai 36 individu ditahan dan polis semalam memaklumkan mungkin akan menahan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan.

Pegawai Kadet Laut UPNM berusia 21 tahun itu meninggal dunia di Hospital Serdang dengan kesan lebam dan melecur pada badan dipercayai didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik penuntut lain, lapor beberapa media sebelum ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima apa-apa laporan berhubung kecurian komputer riba dan kes dera melibatkan penuntut UPNM lain, lapor Bernama.

Bagaimanapun, pada Isnin, sumber mendedahkan kepada portal Malaysia Gazette bahawa kes penderaan dan buli atau raging dalam kalangan pelajar UPNM bukan sesuatu yang luar biasa.

Memetik kenyataan sumber yang juga bekas pensyarah UPNM sebagai berkata, budaya raging dalam kalangan tentera telah diwarisi sejak zaman era British lagi dan diamalkan sehinggalah hari ini.

Jelas sumber kepada portal tersebut, budaya ini kononnya dapat mengajar setiap anggota tentera untuk menjadi seorang yang menurut perintah dan taat kepada ketua atau mereka yang lebih lama dalam perkhidmatan.

Sumber menambah, kes penderaan Zulfarhan merupakan kesan daripada budaya raging yang diwarisi dan ditinggalkan oleh penjajah, sehingga mengakibatkan mangsa meninggal dunia.

Lebih mengejutkan, sumber yang pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar di universiti tersebut memberitahu, pelbagai aduan dan kes buli yang didengarnya sepanjang berkhidmat di institut pengajian tinggi itu termasuklah, kes liwat, seks oral, pukul dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun dakwa sumber, kebanyakan kes itu disembunyikan daripada pengetahun umum.

“Aduan-aduan pelajar kena liwat, oral seks dan banyak lagi itu sudah menjadi perkara biasa.

“Cumanya perkara ini disembunyikan dan tidak didedahkan,” katanya seperti dilapor portal tersebut.

Pelajar telah diasuh supaya taat kepada perintah dan tidak memberitahu apa yang berlaku walaupun kepada ibu bapa mereka sendiri, kata sumber lagi.

“Budak-budak ini sudah diberitahu supaya jangan bercerita itulah budayanya, sampai ibu bapa sendiri pun budak-budak ini takut nak beritahu,” ujar sumber.

Sumber turut berkongsi pengalaman peribadi ketika menjadi pengajar di universiti tersebut yang mana pada 2014, salah seorang pelajar cemerlangnya didera mengakibatkan saraf otaknya tidak berfungsi dan mangsa menjadi Orang Kurang Upaya (OKU).

“Seorang pelajar saya, budak cerdik memiliki CGPA yang tinggi hampir 3.8, berlaku begini dia sudah tidak boleh belajar apabila saraf otaknya tidak berfungsi,” dakwanya.

Terdahulu, bapa mangsa, Zulkarnain Idrus berkata dia melihat kesan melecur akibat ditekap seterika wap di bahagian dada, tangan dan kaki jenazah anaknya, lapor Harian Metro.

Kes kematian Zulfarhan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 36 individu masing-masing penuntut UPNM dan Uniten berusia 20 hingga 21 tahun ditahan reman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini. – mD
loading...