Ahad, 4 Jun 2017

Farizal Marlias Dalam Bahaya, Jangan Lupa Kes Halim Napi

Tindakan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mohd Farizal Marlias mempersoal dan menolak pengadil ketika aksi separuh akhir kedua Piala AFC boleh menyebabkan dia digantung seumur hidup seperti mana berlaku kepada bekas penjaga gawang Kelantan, Halim Napi pada 1997.

Biarpun pentas saingan dilihat berbeza dengan Halim melakukan tindakan mempertikaikan keputusan pengadil tanpa ada sentuhan fizikal dalam aksi antara Perak dan Kelantan di Ipoh pada 5 Ogos 1997, dia tetap didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang kemudiannya menjatuhkan hukuman gantung seumur hidup ke atasnya.

Menurut bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM yang enggan namanya disiarkan, Farizal mungkin boleh dikenakan hukuman sama seperti Halim kerana jelas sekali tindakan kurang bijak penjaga gol Harimau Selatan itu melakukan perbuatan yang dianggap ‘dosa besar’ dalam peraturan bola sepak.

“Saya masih ingat Halim pernah dikenakan hukuman gantung seumur hidup kerana membantah keputusan pengadil.

“Tapi tindakan Halim itu tidak seperti Farizal sampai menolak pengadil yang sememangnya salah di sisi peraturan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa). Ia umpama kesalahan ‘dosa besar’ dalam bola sepak sebab pengadil adalah hakim di atas padang.

Dalam kejadian itu Mohd Farizal Marlias mempersoalkan dan menolak pengadil ketika perlawanan separuh akhir kedua ketika menentang Ceres Negros FC pada saingan Piala AFC Zon Asia Tenggara kelmarin.

Menurut bekas pengadil FIFA yang enggan namanya didedahkan, tindakan keterlaluan Farizal itu boleh menyebabkannya digantung beberapa bulan atau didenda jumlah tinggi.

Malah katanya, penggantungan bukan saja membabitkan larangan beraksi bagi saingan Piala AFC musim depan, tetapi dia juga boleh dihalang bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) kerana kedudukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bernaung di bawah AFC.

Berdasarkan kod 12 peraturan FIFA jelas tindakan Farizal itu diertikan sebagai ‘violent conduct’ atau kelakuan ganas yang boleh menymbangkan kepada hukuman berat. Malah, terdapat tiga atau empat kesalahan dilakukannya.

Pertama, dia membantah keputusan pengadil yang seterusnya mencetuskan kekecohan. Kedua, dia menolak pengadil yang dianggap sebagai kesalahan paling besar.

Ketiga dan keempat, dia membantah di bangku simpanan dengan menyepak botol serta penolong pengadil keempat di tepi padang ketika melangkah keluar dari padang.

Sudah tentu tindakan Farizal akan menyebabkan dia boleh dikenakan hukuman berat yang biasanya dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib AFC. - Harian Metro
loading...