Isnin, 5 Jun 2017

Hospital Tersilap Sahkan HIV Aids, Wanita Ini Derita 12 Tahun

Jarang sekali kita dengar pihak hospital mengeluarkan keputusan darah yang salah, tetapi kita harus ingat juga dah namanya manusia ini tidak pernah lari dari membuat silap.

Kerana kesilapan yang tidak di sengajakan itu telah membuatkan kehidupan zaman kanak-kanak seorang wanita musnah dengan tekanan hidup dari orang disekeliling yang memandang serong terhadapnya.

Kejadian tersebut yang dikatakan berlaku di Bangkok mengesahkan kejadian seorang wanita yang tersilap diagnos positif virus HIV pada usia lapan tahun dan wanita tersebut telah menuntut pampasan dari kerajaan kerana kesilapan itu telah memusnahkan zaman kanak-kanaknya yang tak mungkin dapat dikembalikan.

Wanita tersebut yang dikenali sebagai Suthida Saengsumat, 20 tahun, telah bertindak menyaman Kementerian Kesihatan Awam Thailand.

Suri rumah yang berasal dari wilayah Roi-et di utara Thailand itu berkata, ketika sekolah dia telah dipulaukan oleh rakan-rakan sebayanya kerana dikatakan menghidap penyakit itu.

“Setiap malam saya menangis seorang diri di rumah. Wang tidak mampu membayar balik apa yang saya hilang sebelum ini,” katanya, mengikut lapor Metro.

Terdahulu, Suthida disahkan menghidap HIV apabila gurunya membawa dia membuat ujian darah kira-kira 12 tahun lalu.

Pihak sekolah bimbang selepas bapanya meninggal dunia akibat Aids dan ibunya mengalami penyakit yang serius.

Sehubungan itu, dia tidak membuat ujian kedua untuk pengesahan dan sejak itu mula mengambil ubat antiretrovirus setiap hari.

Walaupun percaya dia menghidap Aids, Suthida berkahwin dan secara tidak sengaja hamil sebelum melahirkan anak lima tahun lalu.

Selepas ujian HIV terhadap anaknya negatif, Suthida memutuskan mengambil ujian itu untuk dirinya sekali lagi dan terkejut apabila mendapati dia bebas virus berkenaan.

Keputusan ujian ketiga kelmarin mengesahkan Suthida negatif virus HIV dan keadaan itu menyebabkan wanita itu menangis.

“Saya memberitahu anak saya, mulai hari ini kamu tidak perlu berasa malu lagi kerana ibu kamu tidak menghidap Aids,” jelasnya.-Suara.TV




loading...