Ahad, 25 Jun 2017

"Madame" Tewaskan 5,000 Lelaki Di Tangannya

Seorang wanita Siam yang menggelar dirinya "Madame" dan mendakwa pernah berdating dengan 5,000 lelaki asing menjadi buah mulut wanita Thailand kerana menawarkan harga yang tinggi untuk kelas menggoda lelaki kaya.

Wanita itu membuka laman Facebook Praiya Suriya dan kini sudah mempunyai 38,041 pengikut.

"Madame" menawarkan kursus berharga 6,300 Baht (RM796) dan menjamin bahawa mereka yang mengambil kursus itu pasti akan berkahwin dengan lelaki asing atau orang Arab yang kaya.

Pun begitu, tidak semua wanita Thailand gembira dengan perkhidmatan "Madame".

Aktivis terkenal dengan hak wanita seperti bekas senator, Rabiebrat Pongpanit dan Leena Jungjunya menyelar perbuatan "Madame" yang disifatkan mencalar imej wanita Siam.

"Madame" memperkenalkan dirinya sebagai seorang bekas pelajar yang pernah menerima biasiswa kerajaan untuk belajar di luar negara.

Dia mendakwa telah "berjuang melalui segala-galanya" dan menderita akibat putus cinta dan pelbagai masalah lain.

Katanya, dia memulakan projeknya kerana mahu mengambil bahagian dalam 'membangunkan' masyarakat Thailand.

"Madame" berkata, dia akan berkongsi pengalamannya dengan wanita Thailand tentang cara mencari lelaki yang benar-benar kaya atau lelaki Arab supaya mereka tidak membuang masa dengan kegagalan bercinta.

"Keluarga kita mesti hidup dan makan dengan baik. Kita mesti gembira dan memberikan cinta kepada semua. Kita mesti menjadi kaya," katanya menerusi Facebook.

Katanya, nasihat yang diberikannya akan mengelakkan wanita Thailand daripada "dipergunakan secara percuma".

Dia mendakwa berkebolehan mengimbas perbualan lelaki asing kurang dari 10 saat untuk mengenalpasti sama ada mereka benar-benar kaya.

"Madame" juga menawarkan nasihat tentang bagaimana kaedah berbual dengan lelaki asing bagi meyakinkan mereka untuk menghantar wang kepada 'pelajarnya' dan menjaga keluarga mereka.

Wanita itu menawarkan nasihat ringkas dan umum secara percuma, namun bagi mereka yang mahukan taktik lebih berkesan hendaklah melanggan pakej VIP dengan membayar yuran langganan.

Seorang wanita bertanya kepadanya sama ada dia boleh mempunyai "kik" atau "kekasih rahsia" kerana suaminya sering bertugas di luar kawasan dan memberikannya wang yang sedikit.

"Madame" menjawab bahawa dia tidak akan memberi nasihat kepada wanita yang sudah berkahwin kerana perbuatan itu berdosa kerana menipu dan mendapatkan wang daripada lelaki lain walaupun sudah mempunyai suami.

Ditanya mengenai butiran lanjut tentang kes yang berjaya, "Madame" menjawab bahawa wanita yang telah berkahwin dan hidup bahagia dengan pasangan mereka tidak akan diganggu kerana menghormati privasi mereka.

Banyak wanita Thailand bertanya soalan di Facebook "Madame". Dia hanya memberikan balasan pendek dan memberitahu agar mereka melanggan akses VIP.-mStar Online
loading...