Jumaat, 2 Jun 2017

Pemandu Myvi Mengaku Pandu Lawan Arus

Pemandu Myvi yang melawan arus di Lebuhraya PLUS berhampiran Kulai, Johor, yang videonya tular di media sosial semalam berjaya di tahan polis.

Menurut laporan Harian Metro, Suspek berusia 29 tahun itu ditahan selepas dia hadir ke pejabat Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, pada 1.10 pagi, berhubung rakaman video cara pemanduannya yang tular di media sosial.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, rakaman percakapan sudah dilakukan terhadap pemandu berkenaan.

"Pemandu terbabit mengaku memandu kereta berkenaan seorang diri ketika kejadian," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal membenarkan suspek ditahan reman selama empat hari hingga Isnin ini selepas dia dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai, hari ini bagi mendapatkan perintah reman.

Semalam, video berdurasi satu minit 26 saat memaparkan Perodua Myvi berwarna perak dipandu melawan arus di lebuh raya berkenaan menjadi tular dalam laman media sosial.

Kejadian 8.20 pagi itu dirakam beberapa pengguna lebuh raya berkenaan sebelum dimuat naik dalam laman sosial Facebook (FB) dan turut dikongsi di aplikasi WhatsApp. - Harian Metro
loading...