Isnin, 26 Jun 2017

Video Pelanggan Berang Tunggu Depan Kedai, Baju Raya Tak Siap Jahit

Tiap-tiap tahun ada saja kes baju raya tak siap di jahit oleh tukang jahit. tapi kali ini lain pulak kes dia, bukan saja tak siap, malah di tipu oleh tukang jahit tersebut.

Meurut laporan mStar Online, kejadian baju tempahan tidak siap dijahit menjelang lebaran menjadi 'mimpi ngeri' yang ingin dielakkan oleh para pelanggan, lebih-lebih lagi apabila tiada bajet lain untuk membeli baju raya sampingan.

Insiden yang berlaku sehari sebelum Syawal itu membuatkan beberapa warga Singapura berang kerana tempahan baju raya yang dijanjikan oleh pemilik premis jahitan di Larkin, Johor Bahru gagal disiapkan.

Lebih buruk lagi, pemilik kedai berkenaan dipercayai sengaja menutup premisnya untuk mengelak daripada diserbu oleh para pelanggan.

Video yang berdurasi 7 minit 18 saat itu tular setelah dikongsikan oleh beberapa laman Facebook.

Rakaman tersebut menunjukkan seorang lelaki yang belum diketahui identitinya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan jahitan di premis terbabit.

"Ceritanya begini, sebelum puasa saya datang sini tempah baju 10 pasang menggunakan kain sendiri yang dibeli di Jalan Sultan dengan nilai 800 dollar Singapura (RM2,472).

"Dia dengan yakinnya berjanji dua minggu sebelum raya dah boleh siap. Jadi, kita hantar," ujarnya menerusi video tersebut.

Bagaimanapun, menjelang 10 hari sebelum raya, peniaga tersebut menghubungi lelaki berkenaan dan memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat menunaikan janji dan hanya dapat menyiapkan semua tempahan dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Pun begitu, tempahan yang dibuat masih gagal disiapkan membuatkan pelanggan tersebut mengambil keputusan untuk mendapatkan penjelasan daripada pemilik premis berkenaan pada Sabtu iaitu sehari sebelum raya.

Namun, dia bertambah berang apabila penantiannya sejak pukul 1 petang hingga 5 petang hanya sia-sia kerana peniaga yang tidak bertanggungjawab itu menutup premisnya.

"Batang hidung pun tak ada, 'call' pun tak angkat. Itu takpe, 10 hari lepas dia cakap aku punya baju je yang tinggal (untuk disiapkan), lain semua dah siap.

"Sekarang, aku nak tunjuk siapa punya baju lagi yang belum siap," kata lelaki bertopi hitam itu sambil menunjukkan beberapa orang pelanggan dari Singapura yang tertipu dengan pemilik premis tersebut.

Tambahnya, semua pelanggan itu tidak pernah berurusan dengan peniaga terbabit dan baru mendapat tahu daripada peniaga premis berhampiran bahawa pelanggan lain turut mengalami nasib yang sama pada tahun lalu.

Video tersebut yang dimuat naik pada Ahad telah menerima tontonan sebanyak 40,449 kali dan 193 perkongsian. - mStar Online
loading...