Rabu, 14 Jun 2017

Wanita Saman Hospital Dan Doktor, Cuai Ketika Melakukan Pembedahan.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita bertindak menyaman hospital serta doktor yang merawatnya kerana kecuaian mereka yang terpotong pundi kencingnya ketika menjalani pembedahan di hospital berkenaan.

Mengikut laporan yang di petik dari SuaraTv, Mahkamah Tinggi pada Selasa telah menetapkan 16 Jun untuk pengurusan kes saman seorang wanita yang juga pegawai kanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap sebuah hospital swasta dan dua lagi berhubung dakwaan kecuaian seorang doktor pakar sakit puan hingga menyebabkan pundi kencing wanita itu terpotong ketika pembedahan membuang rahim.

Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Dalina Hanim Daim dan Abang Azlan Abang Ariffin mewakili wanita itu, Yusmani Mohd Yusoff selaku plaintif.

Kedua-dua peguam itu juga menyebut bagi pihak peguam yang mewakili Columbia Asia Hospital-Cheras dan Dr. Haw Wan Lye selaku defendan kedua dan ketiga manakala Columbia Asia Sdn Bhd, selaku defendan pertama diwakili peguam Loo Ying Ning.

Dalina ketika ditemui pemberita Bernama berkata, kes saman itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Yusmani, 41, seorang Penolong Pegawai Eksekutif (Pentadbiran) LHDN, memfailkan saman itu pada 15 Mei lepas dengan mendakwa kesemua defendan telah cuai dan memungkiri kewajipan berhati-hati ketika merawat dan menguruskan beliau semasa berada di bawah jagaan Dr. Haw dan pihak hospital.

Dalam pernyataan tuntutan, Yusmani berkata, pada 17 Feb 2016, beliau telah menjalani pembedahan histerektomi yang dijalankan oleh Dr. Haw, yang merupakan doktor penasihat (pakar) obstetrik dan pakar sakit puan, untuk membuang rahim bagi merawat “fibroid uterus” yang dialaminya dan ketika pembedahan itu, pelekat depan pada pundi kencing dan rahim dipisahkan daripada permukaan rahim.

Yusmani, yang bekerja di Wisma Hasil, Cyberjaya mendakwa selepas pembedahan selesai, beliau mendapati kawasan perut di mana pembedahan dilakukan berdarah ketika beliau tiba-tiba terbatuk dan Dr. Haw telah membersihkan dan melakukan “dressing” bagi merawat pendarahan di bahagian berkenaan.

Ibu kepada empat anak itu berkata, beliau yang mengalami sakit dada telah menjalani ujian X-Ray dan hasil ujian itu mendapati satu daripada saluran darahnya tersumbat dan apabila dirujuk kepada seorang doktor lain, doktor itu mengesyaki bahawa beliau mengalami kecederaan pada pundi kencing dan terdapat darah beku di kaki, yang pecah dan merebak ke paru-parunya.

Yusmani mendakwa sebelum beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Dr. Haw telah mengaku dan memaklumkan kepada suaminya (suami plaintif) bahawa kecederaan yang berlaku pada pundi kencing itu adalah disebabkan kerana beliau terpotong pundi kencing tersebut secara tidak sengaja.


Wanita itu berkata, beliau dipindahkan ke Hospital Serdang pada 19 Feb 2016 untuk rawatan selanjutnya kerana hospital swasta tersebut tidak mempunyai kepakaran dalam urologi dan selepas ujian “CT Cystography” dijalankan, mendapati wujudnya kecederaan pada pundi kencingnya dan pembedahan kali kedua terpaksa dijalankan bagi memulihkan dan merawat kecederaannya.-Suara.TV
loading...