Selasa, 4 Julai 2017

Anak Bunuh Bapa Gara-gara Tidak Diberikan Duit.

Negeri Sembilan - Seorang lelaki warga emas maut selepas di kelar leher oleh anaknya di rumahnya sendiri hanya kerana tidak di berikan duit.

Menurut laporan Harian Metro, kejadian tersebut dikatakan berlaku di Felda Lui Timur, Jempol pada malam tadi. 

Mangsa yang di kenali sebagai S Valaytham, 73 tahun dipercayai maut dibunuh oleh anak lelakinya yang dikatakan tidak berpuas hati kerana tidak diberikan wang.

Mayat mangsa yang juga merupakan seorang peneroka itu ditemui terbaring di ruang tamu rumahnya dalam keadaan berlumuran darah.

Berdasarkan gambar yang dikongsi laman itu, kelihatan rumah itu dalam keadaan bersepah dan parang yang dipercayai digunakan pula masih basah dengan darah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor dilaporkan berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, telah berlaku pertengkaran antara mangsa dan anak lelakinya yang berusia 45 tahun.

“Suspek dikatakan mengambil parang mengelar leher mangsa. Kejadian disedari jiran yang terdengar bunyi bising lalu ke rumah mangsa dan terkejut melihat keadaan mangsa berlumuran darah.

“Jiran terbabit segera menghubungi polis. Anggota yang tiba di lokasi kemudian menghubungi ambulans dan mangsa disahkan meninggal dunia.

“Polis turut menemui parang disyaki digunakan suspek di atas lantai rumah berkenaan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat polis daerah (IPD) Jempol, hari ini.

Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

Usaha memburu suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-Malaysiakini
loading...