Isnin, 3 Julai 2017

Wang Hantaran Hilang, Wanita Ini Terima Padah Buat Laporan Palsu.


Nur Amirah Kamisan, 23 mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, hari ini atas tuduhan membuat laporan polis palsu di Balai Polis Bandar Tenggara, kelmarin.

Menurut laporan Harian Metro, Berdasarkan kertas pertuduhan, Nur Amira didakwa membuat laporan bertulis kepada anggota polis yang mana dia tahu ia adalah palsu dan dengan maksud hendak menyebabkan polis akan membuat siasatan berkaitan hal yang dimaklumkan.

Jika disabitkan kesalahan Nur Amirah akan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan Nur Amirah diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin, mahkamah turut menetapkan 9 Julai ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, Nur Amira mendakwa disamun oleh dua lelaki Indonesia ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dan mendapat kecederaan selain hilang wang tunai RM10,500 yang didakwanya untuk perbelanjaan perkahwinannya yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Beliau berkata, Nur Amira diarahkan hadir ke mahkamah hari ini selepas siasatan polis terhadap laporan yang dibuat Nur Amira terbabit mengenai dakwaan menjadi mangsa kejadian samun berkumpulan bersenjatakan pisau itu disyaki palsu.

Bagaimanapun, katanya, siasatan polis mendapati Nur Amira membuat laporan palsu dan wang tunai berkenaan sebenarnya hilang ketika dalam simpanannya beberapa hari sebelum sambutan hari raya.

“Nur Amira membuat laporan palsu kerana takut dimarahi keluarganya selepas wang itu hilang di saat hari perkahwinannya semakin hampir,” katanya.

Pada masa sama, Ahsmon memberi amaran keras supaya masyarakat tidak membuat laporan polis palsu kerana ia adalah satu perlakuan jenayah.

“Perbuatan ini menyusahkan polis serta membazir duit rakyat akibat polis terpaksa menyiasat kes yang tidak berlaku.

“Kita akan mengambil tindakan terhadap individu seumpama ini,” katanya. – Harian Metro
loading...