Khamis, 24 Ogos 2017

'Datuk Kabi' Didapati Bersalah Menipu Kes Pajakan Kenderaan

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun, dua sebatan dan denda RM10,000 oleh Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas didapati melakukan penipuan.

Ahli perniagaan tersebut yang lebih dikenali sebagai 'Datuk Kabi' telah dijatuhkan hukuman selepas didapati bersalah menipu seorang lelaki berkaitan urusan jual beli kereta mewah berjumlah RM85,000 tiga tahun yang lalu.

Majistret Rahni Kartini Abd Rahim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap 'Datuk Kabi' atau nama sebenarnya C Kamaleshwaran, 38 tahun, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda yang ditetapkan, mahkamah turut memerintahkan agar hukuman penjara tambahan selama lima bulan dikenakan kepada tertuduh.

Walau bagaimanapun tertuduh dibenarkan ikat jamin serta hukuman penjara dan sebat ditangguhkan sementara menunggu rayuan selepas mahkamah telah meluluskan permohonan peguam K Thiru yang merupakan peguam tertuduh.

Manakala jumlah jaminan telah di naikkan daripada RM3,000 kepada RM8,000.

Datuk Kabi telah didapati melakukan penipuan ke atas Noor Azman Saat , 50 tahun ketika melakukan urusan jual beli kereta Mercedes Benz E200K dengan memberikan cek tendang bernilai RM85,000 kepada beliau.

Mangsa kemudiannya telah menyerahkan kereta miliknya kepada tertuduh di Villa Seren Kiara 6, Sri Hartamas pada 25 hingga 29 Oktober 2014.

Thiru melalui permohonan rayuannya memohon agar anak guamnya hanya dikenakan bon supaya berkelakuan baik dengan alasan anak guamnya mempunyai tiga anak yang masih kecil serta perlu menjaga ibunya yang sakit.

"Malah tertuduh yang merupakan ahli perniagaan turut mempunyai 300 kakitangan yang bergantung kepadanya serta keadaan kesihatan tertuduh yang merupakan penghidap kencing manis," katanya lagi.

Namun begitu Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar telah membantah rayuan tersebut dan memohon agar tertuduh dikenakan hukuman penjara berbentuk pencegahan sebagai satu pengajaran.


loading...