Isnin, 28 Ogos 2017

Datuk Seri Vida Didenda RM4,800, Takut Nak Keluar TV Lagi

Akibat menyiarkan iklan tanpa mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyebabkan Datuk Seri Vida dikenakan denda sebanyak RM4,800 oleh Mahkamah Majistret Petaling jaya selepas beliau mengaku bersalah atas kesalahannya itu.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama DS Vida juga turut diarahkan menjalani hukuman tambahan iaitu penjara lima bulan oleh Majistret Mohd Azali Ibrahim sekiranya beliau didapati gagal menjelaskan denda yang dikenakan ke atas beliau.

Walau bagaimanapun DS Vida yang merupakan Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu bahawa dia telah pun melunaskan denda tersebut.

DS Vida telah didakwa kerana  telah menyiarkan iklan berhubung produk Pamoga di sebuah Syarikat penyiaran televisyen melalui rancangan Jom Singgah bagi tujuan mempengaruhi pengguna.

Iklan tersebut memaparkan produk Pamoga yang dikatakan sebagai satu ubat yang mampu menyembuh serta merawat kulit melecur, meredakan sakit sendi dan melegakan sakit lutut seperti yang dinyatakan dalam jadual Akta Ubat (Iklan dan Penjualan 1956) yang tidak memiliki kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Mengikut kertas pertuduhan terhadap DS Vida, beliau dikatakan telah melakukan kesalahan tersebut di Sri Pentas, Persiaran Bandar Utama di sini antara pukul 1 sehingga 1.30 tengah hari pada 18 Julai 2016 yang lalu.

DS Vida telah di dakwa mengikut seksyen 4B akta Ubat ( Iklan Dan Penjualan 1956), yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1)(b) akta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

loading...