Isnin, 28 Ogos 2017

Sedia Bermati-Matian Berdepan Thailand Esok

Shah Alam - Perlawanan bola sepak bawah 22 (B-22) di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) semakin mendebarkan rakyat Malaysia yang rata-ratanya tidak sabar meyaksikan perlawanan akhir acara tersebut.

Skuad bola sepak lelaki Bawah 22 (B-22) dikatakan telah pun membuat persedian untuk berjuang secara bermati-matian bagi menentang lawannya Thailand di perlawanan akhir bagi acara tersebut.

Muhammad Adib Zainuddin yang mengetuai skuad bola sepak lelaki B-22 memberitahu bahawa motivasi rakan sepasukkannya berada pada tahap yang tertinggi menjelang perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada hari Selasa ini.

Kekalahan di pusingan kelayakkan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-22 2018 di Bangkok kepada negara jiran dengan kekalahan 0-3 bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan ukuran kepada aksi mereka kerana di sini Malaysia merupakan tuan rumah kepada temasya KL2017 ini.

"Saya amat berharap agar emosi serta semangat mereka yang luar biasa tersebut dapat dikekalkan sehingga ke tiupan wisel penamat kerana dari penglihatan saya ke semua rakan-rakan saya berada di dalam keadaan yang amat baik.

Kekalahan kami di Bangkok tempoh hari mungkin adalah di sebabkan faktor Thailand yang menjadi tuan rumah dan itu memberikan sedikit kelebihan kepada mereka tetapi kini di sini adalah giliran kami selaku tuan rumah sudah pasti menaikkan semangat kami untuk membalas dendam atas kekalahan kami tempoh hari," katanya kepada pemberita ketika ditemu bual pada sesi latihan skuad negara.

Walau bagaimanapun, dia selaku kapten pasukan meminta kepada semua rakan sepasukannya supaya tetap berwaspada dengan ancaman daripada Thailand yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah untuk sampai ke peringkat akhir walaupun pada mulanya pasukan mereka kelihatan agak goyah sedikit.

"Ini merupakan saat yang terbaik buat Malaysia menjadi juara dan saya amat mengharapkan ke semua pemain dapat berjuang sehabis mungkin di perlawanan akhir itu nanti.

Menewaskan Thailand merupakan satu impian setiap negara yang ertanding di Sukan SEA kerana pasukan mereka merupakan sebuah pasukan yang hebat di Asia Tenggara," kata pemain Felcra FC itu.

Muhammad Haziq Nadzli yang merupakan penjaga gol negara pula telah bertekad untuk mengekalkan aksi terbaiknya bagi melindungi gawang negara daripada terus dibolosi jentera negara 'Gajah Putih' tersebut.

"Saya akan cuba sehabis baik dalam mengekalkan fokus di perlawanan akhir itu nanti dalam memastikan agar Malaysia akan berjaya merangkul pingat emas," katanya lagi.

Malaysia serta Thailand telah berjaya menundukkan pihak lawan masing-masing dengan mata 1-0 bagi melayakkan pasukan untuk mara ke perlawanan akhir B-22.- Bernama
loading...