Rabu, 6 September 2017

Kami Di Sabotaj Oleh Pihak Tertentu, Kami Bagi Masa 24 Jam Kalau Mahu Bincang - ZurinJundi

Klang - Baru-baru ini kecoh mengenai isu perancang perkahwinan yang menipu lebih 100 pasangan pengantin sehingga mereka terpaksa menanggung malu akibat daripada perbuatan perancang perkahwinan tersebut.

Zurina Ahmad Jundi yang merupakan pemilik kepada butik perancang perkahwinan, Zurin Jundi akhirnya telah tampil membuat sidang media bagi menjawab segala persoalan yang ingin ditujukan kepadanya.

Ketika sidang media berlangsung, Zurina berusia 35 tahun tersebut telah memohon maaf serta memberikan jaminan bahawa dia akan menjelaskan kesemua ganti rugi serta turut mengakui bahawa pihaknya cuai dalam perkhidmatannya terhadap pelanggan.

Zurin hadir bersama peguamnya, Muhammad Akmal Arif Shamsul Kahar ke sidang media khas pada Selasa lalu selepas dibebaskan dari tahanan reman selama lima hari bagi menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku.

Walau bagaimanapu hanya peguamnya sahaja yang menjawab segala soalan yang dikemukakan manakala Zurin dilihat hanya duduk sambil mendiamkan diri menyaksikan segala soal jawab antara peguamnya bersama pihak media.

"Kami meminta maaf atas semua kesalahan yang tidak disengajakan serta berjanji akan membayar semua ganti rugi mengikut jadual pembayaran secara berkala terhadap pihak yang terlibat," kata Akmal.

Menurut Akmal lagi, anak guamnya Zurina telah pun bersedia untuk berbincang dengan 91 bakal pengantin yang membuat tuntutan untuk mendapatkan semula wang deposit mereka dan bagi mereka yang ingin berbincang bolehlah menghubungi Zurina secara terus 24 jam selepas sidang media ini.

Kesemua jumlah wang deposit yang melibatkan 91 pasangan pengantin tersebut dianggarkan mencecah RM500,000 namun Zurina memberitahu bahawa kesemua pasangan pengantin tersenut bukanlah mangsa penipuan tetapi merupakan pelanggan yang telah membuat bayaran deposit kepadapremisnya.

"Kesemua mereka itu hanya merasa terancam dan bukanlah mangsa penipuan serta isu ini sebenarnya telah disensasikan pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya lagi.

"Yang batal tempahan tak ramai, kurang daripada 10 orang. Ada diantara mereka sudah berhubung sendiri dengan saya dan apabila dijelaskan mengenai situasi sebenar baharulah mereka faham," katanya.

Akmal ketika sidang media turut mendakwa bahawa anak guamnya itu sebenarnya telah disabotaj dan pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terlibat.

Sehubungan itu, katanya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu terbabit yang didakwa menyebabkan berlakunya ketirisan dalam operasi syarikat.

Beliau berkata unsur sabotaj itu sudah mula disedari beberapa bulan sebelum kes pertama yang tular di media sosial pada 23 Julai lalu tetapi keadaan masih berjaya dikawal.

Mengenai isu makanan tidak sampai pula, Akmal memberitahu bahawa ianya berlaku adalah kerana berpunca daripada kecuaian pihak tertentu."Kami telah berbincang dengan pihak katering untuk bayar perkhidmatan mereka secara beransur-ansur," katanya.

Mengenai isu pelamin reban ayam, Muhamad Akmal menjelaskan pelamin tersebut bukanlah bernilai RM10,000 seperti yang diviralkan di media sosial.

Sebaliknya, beliau berkata pelamin tersebut adalah salah satu perkhidmatan yang disediakan dalam pakej bajet bernilai RM10,000 meliputi katering, khemah, baju dan solekan.

"Ini bermakna nilai RM10,000 bukanlah harga pelamin semata-mata tetapi merangkumi perkhidmatan lain."Tuduhan yang dilemparkan mengatakan bajet RM10,000 adalah pelamin semata-mata  tidak benar," katanya.

Jelas beliau, pelanggan ada memberikan contoh gambar  pelamin yang diimpikan tetapi kakitangan Zurina cuba menjelaskan ia melibatkan kos yang lebih tinggi.

"Namun pelanggan tetap inginkan pelamin itu dan sehubungan itu, mereka cuba memberikan perkhidmatan terbaik berdasarkan bajet mengikut tempahan," katanya. - mStar Online
loading...