Kebakaran Pusat Tahfiz, Serah Kertas Siasatan Kepada Peguam Negara.

Susulan kejadian pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah yang terbakar serta telah mengorbankan 23 nyawa.

Pihak polis telah pun menghantar kertas siasatan berikutan kejadian terbabit kepada Peguam Negara bagi membuat penelitian.

Menurut laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kes disiasat pihaknya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 435 kanun yang sama.

Menurutnya, penelitian lanjut akan dilakukan pihak Peguam Negara mengenai seksyen yang akan digunakan nanti.

"Sebarang pekembangan lanjut akan dimaklumkan dan pihaknya sudah melakukan siasatan terperinci membabitkan kejadian berkenaan.

"Kita berharap semua pihak bersabar dan tidak membuat kenyataan hingga menggangu siasatan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian tersebut telah mengakibatkan 21 pelajar tahfiz dan dua warden maut selepas pusat tahfiz berkenaan dibakar sekumpulan remaja.

Dalam perkembangan lain, polis Terengganu akan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes pembunuhan yang terancang berkenaan.

Malah pasukan tersebut juga akan turut menyelesaikan tiga lagi kes pembunuhan yang berlaku di negeri ini.

"Dua kes di Kuala Terengganu membabitkan kes bunuh bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Alor Limbat Alias Abdullah dan sepupunya, Mat Jusoh Ali di Padang Midin serta kes pembunuhan peniaga ikan di Besut.

"Kita juga akan meneruskan siasatan hingga dalang yang melakukan perbuatan berkenaan tertangkap dan pasukan khas ditubuhkan itu akan melakukan siasatan terperinci membabitkan ketiga-tiga kes berkenaan," katanya.