Rabu, 27 September 2017

Sami Buddha Serbu Rumah Perlindungan Rohingya.

SRI LANKA: Bukan saja di Myanmar malah warga Rohingya di Sri Lanka turut sama ditindak oleh sami buddha.

Menurut laporan Harian Metro, Sami Buddha di Sri Lanka mengetuai penduduk tempatan menyerbu rumah perlindungan pelarian Rohingya.

Rumah perlindungan di Colombo itu disediakan oleh PBB untuk pelarian Rohingya yang melarikan diri ke negara tersebut.

Sami terbabit mengetuai perusuh memecah masuk kawasan rumah menyebabkan 31 pelarian mengurung diri di tingkat paling atas dalam ketakutan sehingga diselamatkan pihak berkuasa.

Menurut seorang pegawai polis, pihaknya berjaya menyuraikan perusuh dan pelarian akan ditempatkan di lokasi baru.

Seramai 31 pelarian itu diselamatkan tentera laut Sri Lanka Mei lalu, ketika hanyut dalam bot mereka.

Pelarian itu akan dihantar ke negara ketiga dan dibenar berada di Sri Lanka menunggu dokumen mereka siap.

Dalam rakaman video oleh kumpulan pelampau Sinhale Jathika Balamuluwa (Tentera Kebangsaan Sinhalese), seorang sami mendesak orang ramai meruntuhkan bangunan menempatkan pelarian terbabit.

“Inilah pengganas Rohingya yang membunuh sami Buddha di Myanmar," kata sami berkenaan yang disiarkan secara langsung di Facebook, menunjuk kepada wanita Rohingya yang ketakutan memeluk anak kecil mereka.

Sami Buddha yang radikal di Sri Lanka mempunyai hubungan rapat dengan sami Buddha di Myanmar dan mereka didakwa mencetuskan keganasan terhadap Islam minoriti di negara masing-masing. - Harian Metro
loading...