Khamis, 7 September 2017

Syed Rosli Bidas Jamal Yunos Isu Kedai Judi Di Selangor

Selangor - Datuk Seri Jamal Md Yunos sentiasa panas dengan pelbagai gimik dan yang terbaru adalah gimiknya sewaktu membuat sidang media antijudi yang bertempat di Ampang.

Namun begitu, tindakan Jamal tersebut telah diselar oleh seorang pemimpin akar umbi Umno yang memintanya agar berhenti daripada terus menyalahkan kerajaan Selangor mengenai isu pusat judi.

Menurut kenyataan dari Syed Rosli Syed Harman yang merupakan Ketua Penerangan Umno Taman Cempaka, tindakan Jamal yang terus-terusan menyalahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan lambakan pusat judi di selangor adalah sesuatu yang tidak adil dan tidak tepat.

Syed Rosli melalui kenyataannya turut meminta Jamal supaya menggunakan akal fikiran serta menjadi lebih bijak dalam membuat tindakan sekiranya ingin menyerang kerajaan Selangor.

Syed Rosli juga turut memberitahu bahawa serbuan terhadap sesebuah premis perjudian dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bukanlah PBT seperti yang dikatakan oleh Jamal.

Jamal sepatutnya mengetahui terlebih dahulu bahawa kuasa pemantauan serta penyerbuan pusat judi hanya ada pada PDRM dan bukanlah pada PBT dan hanya PDRM sahaja yang berkuasa melakukan serbuan, siasatan serta bertindak di bawah Akta Polis.

Jamal yang merupakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar ketika dalam sidang media Antijudi di Ampang telah bertindak memecahkan meja selepas membuat sidang media.

Jamal secara tiba-tiba bangun, mengambil tukul besar dan menghentak meja dihadapannya beberapa kali sehingga pecah dan patah, namun sebelum itu Jamal sempat memberitahu bahawa tindakannya itu adalah simbolik terhadap kedai-kedai judi yang ada di Selangor. - Malaysiakini
loading...