Wanita Melayu Curi Tumpuan Elak Bersalam Dengan David Beckham

Kuala Lumpur - Seorang wanita berjaya menarik perhatian rata-rata netizen selepas rakaman video menunjukkan dia sanggup menolak jabat tangan bersama David Beckham menjadi tular di media sosial.

David Beckham merupakan seorang lagenda bola sepak Manchester United dan berjumpa dengannya merupakan satu peluang berharga yang mungkin hanya sekali seumur hidup.

Namun siapa yang menyangka walaupun di usia 42 tahun tersebut dan merupakan bapa kepada empat orang anak serta seorang suami kepada Victoria yang juga merupakan ahli kumpulan Spice Girls itu masih tampan dan segak bergaya.

Kehadirannya di khalayak ramai pastinya diiringi dengan jeritan ‘histeria’ peminat fanatik terutamanya di kalangan gadis dan kehadiran bekas pemain Real Madrid sudah pasti sentiasa menjadi buruan paparazi.

Menurut laporan mStar Online, kedatangan Beckham ke Malaysia adalah sempena program eksklusif AIA Vitality Wellness Festival, susulan pelantikannya sebagai Duta Global AIA pada Mac lalu.

Dalam satu majlis di pusat membeli-belah Pavilion di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Jumaat, Beckham dilihat bersalaman dengan beberapa individu di atas pentas.

Namun seorang wanita tempatan mencuri tumpuan apabila dia tidak berjabat tangan yang dihulurkan oleh Beckham kepadanya.

Bertudung hijau dan berbaju hitam lengan panjang, wanita tersebut menolaknya secara baik demi menjaga batasnya sebagai wanita Muslimah.

Berdasarkan reaksi wajah Beckham, bintang pujaan ramai berkenaan juga bersikap profesional apabila masih tersenyum sambil mengangguk tanda faham.

Tindakan wanita itu mendapat pujian netizen yang menyifatkan ia wajar dicontohi

Seorang netizen berkata: “Walaupun dapat salam percuma dengan Beckham, dia tetap ingat batasannya sebagai perempuan."

“Tak ada benda yang nak dimalukan pun sebenarnya kalau orang tak sambut salam kita atas sebab bukan mahram,” kata seorang lagi netizen.

“Berkat ajaran orang tuanya, hebat ibu bapanya mendidik adik tersebut,” kata netizen, malah dikatakan sebagai sesuai dijadikan calon isteri kerana menjaga tatatertib.

Syabas buat wanita berkenaan, walaupun tegas dengan pendiriannya, dia tetap bertuah kerana berpeluang bertemu dan bergambar dengan Beckham. - mStar Online