Ahad, 15 Oktober 2017

30 Lelaki Termasuk 2 Remaja Pukul Empat Anggota Polis

GEORGETOWN: Dua remaja antara sembilan lelaki ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan serta menghalang anggota polis menjalankan tugas, semalam.

Semua suspek berusia lingkungan 16 hingga 31 tahun itu ditahan di hadapan Balai Polis Lebuh Pantai di sini, ketika cuba mencetuskan satu lagi pergaduhan hingga mencederakan beberapa anggota polis, dalam kejadian jam 12.15 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A Anbalagan, berkata siasatan sedang dijalankan menerusi rakaman percakapan saksi kejadian.

"Siasatan awal mendapati, beberapa suspek itu terbabit dalam kes rusuhan di Persiaran Bayan Indah, kelmarin. Ekoran rasa tidak puas hati dengan kejadian itu, mereka pergi membuat laporan di balai polis berkenaan.

"Semua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 16 Oktober ini untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Difahamkan, sembilan individu itu adalah antara 30 lelaki yang terbabit dalam kejadian memukul empat anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan di hadapan Balai Polis Lebuh Pantai di sini, kelmarin.

Mereka dikatakan tidak mengendahkan arahan, sebaliknya bertindak ganas hingga mencederakan beberapa anggota polis, selain didakwa terbabit dalam satu lagi pergaduhan berhampiran kedai serbaneka di Queensbay. - Berita Harian Online
loading...