Isnin, 16 Oktober 2017

Anggun Mengaku Tak Bersalah Menipu Berkaitan Pembinaan Rumah,

Datuk Anggun yang pernah tular di media sosial kerana menipu orang ramai perkenaan pembinaan rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah hari ini.

Menurut laporan Harian Metro beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini, atas pertuduhan menipu seorang pensyarah berkaitan pembinaan rumah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Siti Nurbaiyah Yahya, 42, atau dikenali 'Datuk Anggun' mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Mohd Azhar Hamzah.

Mengikut kertas pertuduhan, dia dituduh dengan curang menipu Zainol Ahmaf, 51, untuk menyerahkan RM30,000 bagi tujuan pembinaan rumah di tapak tanah sendiri.

Tertuduh yang diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dituduh melakukan kesalahan itu di No 5, Lorong Gonchar 2, Jalan Dato Ali, Kangar pada 23 Disember 2015, kira-kira 5 petang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, namun peguam memohon jumlah itu dikurangkan.

Syed Muhammad berkata, jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh untuk perbicaraan kes itu di mahkamah dan jumlah RM30,000 ditawarkan tidak mampu dibayar anak guamnya yang juga ibu tunggal dan menanggung lima anak, empat daripadanya bersekolah.

"Selain itu, semua aset dan akaunnya sudah dibekukan oleh polis dalam siasatan kes.

"Jadi saya mohon jaminan paling minimum," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dan menetapkan 23 November ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Tertuduh dari Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor antara beberapa individu termasuk Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Nuruliman A Rahman atau Boy Iman yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah banglo membabitkan nilai RM6.2 juta oleh syarikat itu dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources (SJKGR). - Harian Metro
loading...