Jumaat, 13 Oktober 2017

Boy Iman Disambung Reman Enam Kali Berturut-Turut.

Boy Iman yang sebelum ini menafikan menipu dalam urusan jualan rumah kini disambung reman buat kali keenam berturut-turut di Mahkamah hari ini.

Menrut laporan Harian Metro, Mahkamah Majistret Kangar, hari ini, membenarkan Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Nuruliman A Rahman atau Boy Iman direman dua hari bagi membantu siasatan membabitkan penipuan jualan rumah bernilai RM6.8 juta.

Perintah tahanan reman terhadap pelakon berusia 37 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bermula hari ini sehingga esok selepas dipohon pihak polis.

Ia bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Turut direman tiga pengarah syarikat Juta Kelulut Global Resources termasuk seorang wanita yang berusia antara 30 hingga 45 tahun mengikut seksyen yang sama.

Terdahulu semua suspek tiba di pekarangan Mahkamah Kangar pada pada 9.47 pagi dengan berpakaian lokap.

Boy Iman diwakili peguam Rosman Azwan Osman manakala tiga lagi suspek diwakili Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Ini kali keenam mereka direman selepas di Ampang, Shah Alam, Selangor, Muar, Johor, Sungai Petani dan Kubang Pasu, Kedah.

Siasatan dijalankan polis susulan penipuan jualan rumah yang didakwa dilakukan DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources yang turut membabitkan mangsa di Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Selangor.

Boy Iman ditahan di Balai Polis Bukit Indah, Ampang pada 2 Oktober lalu kerana disyaki terbabit dalam penipuan jualan rumah yang membabitkan kerugian keseluruhan sehingga RM6.8 juta.

Sehingga kini 210 laporan berhubung penipuan skim perumahan DBI Properties diterima polis daripada mangsa di seluruh negara dan difahamkan enam daripadanya di Perlis. - Harian Metro
loading...