Rabu, 18 Oktober 2017

Kemelut Dua Kumpulan XPDC Berterusan

Foto Harian Metro
Kemelut yang melanda kumpulan XPDC sehingga kini masih lagi tidak berjaya diselesaikan sehingga walaupun telah terbahagi kepada dua kumpulan masih tetap mempunyai masalah yang tidak berjaya diselesaikan sehingga ke hari ini.

Namun begitu menurut laporan Harian Metro, pemain bass kumpulan XPDC, Zua berharap pemain gitar, Izo dapat memberikan kerjasama bagi membantu menyelesaikan kemelut yang dihadapi berkaitan kontrak mereka dengan syarikat rakaman Life Records.

Zua atau nama sebenarnya Azuar Mat Tasi kini menganggotai XPDC bersama Mael (penyanyi), Amy (dram) dan Jeff (gitar), manakala Izo bersama Ali (penyanyi), Eddie (bass) dan Lola (dram) turut menggunakan nama XPDC.

Zua berkata, Life Records membenarkan nama XPDC digunakan kedua-dua pihak dengan syarat semua anggota asal XPDC menandatangani surat yang dikeluarkan.

"Izo enggan tandatangan surat pelepasan. Jika dia turunkan tandatangan, barulah mereka akan ikut tandatangan surat pelepasan yang dimaksudkan.

"Jika sebaliknya, kedudukan kami tidak ke mana. Kami ada kontrak reunion XPDC membabitkan saya, Izo dan Amy yang ketika ini tergantung," katanya.

Menurutnya, dalam situasi sekarang tiada pihak berani melaburkan modal untuk lagu dan album terbaru mereka.

“Apa yang ada hanya secara lisan dan ia bukan jaminan. Kami nak ia dibuat secara hitam putih sebagai bukti kami sudah bebas.

"Menerusi cara ini barulah penaja akan datang. Kalau mereka nak pandai-pandai sendiri, susah juga nanti kalau kena saman dengan Life Records," katanya.

Menurutnya, banyak agenda mereka untuk XPDC tertangguh hanya kerana perkara ini.

"Izo hanya perlu tandatagan dan sekiranya dia dan anggota lain mahu kembali dengan Life Records, ia tidak jadi masalah. Kami juga sudah buat perubahan dari segi logo dengan memperkenalkan identiti masing-masing. Kami adalah XPDC Kita Pengyu," katanya.

Sementara itu, Izo atau nama sebenarnya Mohd Zulkifly Nik Hussin berkata, surat dikeluarkan Life Records itu membawa maksud komitmen mereka selama ini sudah ditunaikan.

"Ia tanda tanggungjawab kami terhadap Life Records sudah dijalankan dengan baik. Mereka keluarkan surat pelepasan kerana tidak mahu mengikat kami.

"Sesiapa yang tandatangan surat itu bermakna dia bersetuju dengan kandungannya termasuk memperakui logo dan nama XPDC adalah hak milik Life Records," katanya.

Menurutnya, dia enggan menurunkan tandatangan kerana perlu merujuk dengan anggota lain serta peguam sebelum membuat keputusan.

"Saya takut jika saya turunkan tandatangan, adakah akan membabitkan anggota kumpulan saya yang lain dan saya tidak mahu berlaku kerugian.

"Dia (Zua) tandatangan itu sebenarnya tiada kena mengena dengan saya. Kami bukan satu kumpulan. Itu hal dia dan saya dengan hal sendiri," katanya.

Izo berkata, apa-apa yang berlaku adalah urusannya sendiri dan dia tidak mahu menjadi mangsa dipersalahkan dalam perkara ini.

"Siapa yang tandatangan dikira bersetuju dengan apa yang dinyatakan dalam surat itu. Secara automatik mereka sudah bebas.

“XPDC sudah berpecah dan kontrak adalah atas nama individu, bukannya berkumpulan. Sepatutnya mereka sudah bebas dan boleh buat apa sahaja sekarang," katanya.

Izo berkata, Zua perlu mengikut syarat-syarat ditetapkan iaitu nama dan logo XPDC adalah hak milik Life Records dan mereka perlu merujuk kepada syarikat rakaman itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan nama dan logo XPDC sudah dipaten Life Records sejak 1 Julai 1998 dan ia adalah hak mutlak syarikat terbabit, bukannya anggota XPDC.

Pengurus Promosi dan Pemasaran Life Records Sariah Idris dipetik sebagai berkata, pihaknya tidak menghalang anggota kumpulan itu menggunakan nama XPDC tetapi penganjur untuk persembahan mereka perlu menulis surat dan meminta kebenaran Life Records untuk menggunakan nama dan logo kumpulan itu. - Harian Metro
loading...