Sabtu, 21 Oktober 2017

Ketua Pendakwaan Ketuai Siasatan Kes Pegawai SPRM Skandal Bersama Isteri Orang.

KUALA NERUS: Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara akan mengetuai pasukan khas bagi memantau siasatan ke atas dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad terbabit dengan skandal bersama seorang wanita di Bali, Indonesia, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Tanpa menyebut individu yang terlibat, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata pasukan itu adalah bahagian yang paling tinggi dan mengetuai segala siasatan terutamanya siasatan polis di seluruh negara.

"Ketua Bahagian Pendakwaan ini akan terus melaporkan sebarang perkembangan secara terus kepada saya. Namun begitu, sehingga kini saya tidak lagi mengetahui sebarang perkembangan mengenai kes berkenaan dan kita serahkan siasatan tersebut kepada polis untuk mengambil keterangan daripada beberapa orang saksi dan sebagainya.

Apa yang kita lihat seperti yang tular dalam video tidak pasti lagi akan kesahihannya...tunggu hasil siasatan sahaja...sebab undang-undang semua ada bagi mereka yang membuat kesalahan...kalau orang buat laporan palsu...kita juga ada undang-undang akan dikenakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang sempena Majlis Konvokesyen ke-9 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Turut berkenan mencemar duli Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah merangkap Canselor UniSZa ke majlis berkenaan.

Hadir bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Naib Canselor UniSZA, Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Zubir Embong.

Pada majlis itu, Gabenor Sulawesi Selatan, Dr H. Syahrul Yasin Limpo turut menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dan Kepimpinan.

Pejabat Peguam Negara pada 16 Okt lepas telah menubuhkan pasukan khas bertujuan memantau secara rapi siasatan ke atas Dzulkifli di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan kesalahan berkaitan.

Mohamed Apandi turut mengulas sesetengah pihak yang menyalah ertikan konsep kewujudan pasukan khas itu.

"Ramai orang salah faham konsep pasukan khas...sedangkan pasukan khas yang saya wujudkan adalah dalam Jabatan Peguam Negara... saya fikirkan pasukan khas ini perlu diwujudkan kerana berlakunya tohmahan yang melibatkan integriti...integriti seorang yang mengetuai Badan Pencegahan Rasuah yang mana memerlukan standard moral yang tinggi.

Jadi saya sebagai Peguam Negara dan pengamal undang-undang sentiasa percaya kepada kebenaran itu perlu wujud...kita tidak tahu perkara tersebut fitnah atau benar dan apa yang dilakukan sekarang adalah untuk mencari kebenaran," katanya. --BERNAMA
loading...