Selasa, 17 Oktober 2017

Lelaki Mengamuk Gara-Gara Sepupu Wanita Mahu Kahwin Lelaki Lain.

Seremban: Seorang wanita terpaksa melalui detik-detik mencemaskan apabila dia dipukul serta di ugut dengan menggunakan kapak oleh sepupunya sendiri yang cemburu selepas dia dikatakan bakal melangsungkan perkahwinan bersama lelaki lain.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku di sebuah rumah di Taman Jujur, sikamat pada kelmarin dipercayai bermotifkan cemburu kerana wanita tersebut bersamanya pernah menjalinkan hubungan cinta sebelum hubungan tersebut putus ditengah jalan.

Lelaki terbabit yang juga merupakan seorang penganggur telah bertindak menendang perut mangsa sebelum mengamuk di tempat kejadian kerana cemburu selepas mengetahui bahawa sepupunya itu bakal berkahwin dengan lelaki lain.

Menurut laporan Harian Metro, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1 pagi ketika wanita berusia 31 tahun itu pulang ke rumah bersama teman lelaki dan ditahan suspek yang berusia 37 tahun, yang tinggal berhampiran.

Mangsa dikejutkan sepupunya yang memegang kapak meluru ke arahnya dan menendang perutnya hingga terjatuh.

“Kejadian disaksikan seorang lagi saudara yang meleraikan pergaduhan. Suspek diarahkan pulang, manakala wanita itu dan teman lelaki memasuki kediaman,” katanya.

Kata sumber berkenaan, suspek datang semula ke rumah wanita terbabit jam 2 pagi dan mengarahkan mereka keluar.

“Lelaki itu yang masih memegang senjata sama menghamburkan kata-kata kesat dan mengugut mahu memotong kepala sepupunya. Suspek menjadi tidak keruan apabila memecahkan cermin tingkap di rumah wanita berkenaan,” katanya.

Menurutnya, keadaan bertambah kecoh apabila serpihan kaca mengenai bahagian badan anak perempuan mangsa.

“Sehubungan itu, wanita terbabit menghubungi pihak polis sebelum sepasukan anggota tiba di lokasi. Suspek ditahan dan kapak dirampas,” katanya.

Kata sumber, siasatan mendapati suspek dan wanita itu adalah sepupu serta pernah bercinta.

“Hubungan itu terputus di tengah jalan berikutan suspek tidak bekerja, gemar bergaduh dan sering mabuk. Kemuncaknya apabila wanita terbabit memutuskan mahu mendirikan rumah tangga bersama teman lelakinya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya, suspek kini direman mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta khianat.

“Siasatan pihak polis mendapati punca amukan disebabkan suspek cemburu kerana sepupunya mahu mendirikan rumah tangga,” katanya. - Harian Metro
loading...