Ahad, 22 Oktober 2017

Mimi Cinta Dengan Pemain Bola Sepak, Sudah Lupakan Shahir.

NAMA Mona Syamimi Mohd Samsudin tiba-tiba sahaja menjadi sebutan gara-gara kontroversi dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir.

Jika sebelum ini pramugari sebuah penerbangan tempatan itu mengaku terasa hati dengan pengakuan Shahir yang menganggapnya hanya sebagai peminat, Mimi nampaknya tidak perlu menunggu lama untuk mengubati rasa sedihnya.

Dalam laporan portal mStar semalam, Mimi mengakui sudah tidak mendambakan finalis AF Megastar itu kerana hatinya kini diisi oleh seorang pemain bola sepak.

Kata Mimi kepada portal berkenaan, kontroversi dengan Shahir sedikit sebanyak menjejaskan hubungannya dengan pemain skuad Piala Presiden Terengganu itu, namun dia bersyukur kerana kekasih hatinya itu tidak cepat melatah.

"Saya kini berkawan dengan seorang pemain bola Terengganu. Mujur dia tahu tentang hubungan dengan Shahir dan memahami keadaan tersebut," ujar wanita berusia 27 tahun itu.

Carian di laman sosial mendapati Mimi mula memperkenalkan buah hatinya itu kepada umum dengan memuat naik gambar jejaka itu bermula tiga hari lalu.

Paling terbaharu adalah sekeping gambar lelaki yang dikenali dengan nama Mohd Rizuan itu dengan kapsyen ucapan selamat berjaya, malam tadi.

Dalam kenyataannya kepada media sebelum ini, Mimi memaklumkan apa yang dimahukan hanyalah kejujuran daripada Shahir untuk mengakui cerita sebenar hubungan mereka.

Selesa menggelarkan Shahir sebagai kawan, Mimi mengakui terkilan apabila keakraban mereka ditafsirkan sebagai hubungan antara artis dan peminat oleh Shahir. - Astro AWANI
loading...