Selasa, 17 Oktober 2017

Punca Kemalangan Maut Di Sungai Petani Didedahkan.

Sungai Petani - Sekurang-kurangnya dua maut manakala seorang cedera parah serta 12 lagi mengalami kecederaan selepas berlaku kemalangan yang membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dengan sebuah van kilang.

Identiti salah seorang daripada mangsa yang maut dalam kemalangan tersebut yang berlaku di Kilometer 68, Jalan Alor Setar/Butterworth, Sungai Petani, dekat sini pada pagi tadi, telah pun  dikenal pasti.

Mangsa yang maut tersebut merupakan seorang pekerja kilang yang juga penumpang van dikenali sebagai Nur Izaty Syafinaz Zamri, 20 tahun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat daripada kecederaan parah yang dialaminya.

Manakala identiti mangsa kedua yang maut iaitu pemandu Perodua Myvi masih belum dapat dikenal pasti setakat jam 12.30 tengah hari ini.

Pemandu van kilang tersebut yang mengalami kecederaan parah dikenali sebagai Rizal Zul Idzaham Mohd Ridzuan berusia likungan 30-an.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, berkata kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 6 pagi itu membabitkan sebuah van kilang yang datang dari arah Sungai Petani manakala kereta Perodua Myvi yang membawa seorang penumpang datang dari arah Tikam Batu.

Menurut beliau lagi van yang dinaiki oleh 14 orang termasuk pemandu itu dalam perjalanan ke sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Prai sebelum van tersebut secara tiba-tiba dirempuh Myvi tersebut dari arah yang bertentangan.

“Kemalangan tersebut menyebabkan seorang penumpang van bersama pemandu Myvi maut di tempat kejadian manakala pemandu serta 12 penumpang van dan penumpang kereta yang lain masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Kes kemalangan maut tersebuta akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Akibat rempuhan kuat yang berlaku, van terbabit dipercayai berpusing beberapa kali sehingga menyebabkan semua penumpang tercampak ke atas jalan.

Ianya telah menyebabkan salah seorang mangsa dipercayai terperosok ke bawah Myvi terbabit manakala pemandu dan penumpang kereta tersepit di tempat duduk.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Tikam Batu memberitahu bahawa pihaknya telah menerima panggilan pada jam 6.01 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian kami mendapati semua penumpang van tercampak di jalan manakala pemandu van dan kereta tersepit di tempat duduk.

“Kesemua yang tersepit segera dikeluarkan manakala mangsa yang maut dan cedera segera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi diperiksa ” katanya.-Berita Harian Online
loading...