Selasa, 17 Oktober 2017

Sudah 21 Tahun Berlalu Ibu, Ayah, Masih Ingatkah 'Anak Hentian Bas' Ini?

Siapa sangka sebuah hentian bas di Kampung Megat, Jalan Maran, dekat Tasik Paya Bungor, Kuantan mempunyai satu kisah sedih  21 tahun lalu.

Menurut laporan mStar Online, hentian bas inilah seorang anak muda ditinggalkan oleh ibu bapa kandungnya ketika dia berusia 10 hari, 21 tahun lalu, dan pada petang Ahad dia kembali ke hentian penuh memori itu buat pertama kalinya.

“Saya rasa sebak bila melangkahkan kaki ke hentian bas tu. Saya terfikir apa sebab sebenar ibu bapa saya meninggalkan saya di situ.

“Saya cuba tahan air mata daripada keluar, tapi nak buat macam mana, dalam hati dah menangis dulu. Rasa ingin tahu cukup kuat, tapi saya terima ketentuan Allah,” kata Mohamad Putera Zainuddin, 21, kepada mStar Online pada Isnin.

Kisah Mohamad Putera atau dipanggil Putera tular selepas dia memuat naik keratan akhbar yang memaparkan kisah dirinya ditinggalkan pada 23 September 1996, di laman sosial.

Putera yang meluangkan masa di hentian bas berkenaan selama setengah jam turut bertuah apabila dipertemukan buat pertama kali dengan bekas ketua kampung, Mohammad Jafri Maarof dan Abdul Khalid atau Pakcik Hamid yang merupakan orang pertama menjumpainya selepas ditinggalkan.

“Syukur Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan dua insan yang berhati mulia ini. Terima kasih juga kepada semua penduduk kampung,” katanya yang turut berterima kasih kepada Normah Mat Ariffin, jururawat yang memangkunya dalam gambar berita yang menceritakan kisah dia ditinggalkan.

Ketika kejadian, Putera ditinggalkan dalam keadaan sihat, lengkap berbaju, berstokin dan bersarung tangan serta diselubungi sehelai selimut.

Berita mengenai dirinya tinggalkan hanya diketahui selepas Putera tergerak hati untuk mencari ibu bapa kandungnya dengan mendapatkan maklumat di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah di Kuantan, Pahang pada Jun lalu.

Bagaimanapun, pelajar Diploma Pembantu Perubatan di sebuah kolej di Seremban, Negeri Sembilan ini tidak pernah menyalahkan ibu bapa kandungnya dan percaya mereka mempunyai alasan tersendiri sehingga terpaksa meninggalkannya.

Putera turut menegaskan dia sama sekali tidak akan meninggalkan ibu bapa angkat yang membesarkannya di Muar, Johor, sekiranya dipertemukan dengan ibu bapa kandungnya.

“Kasih sayang saya kepada mama dan abah (panggilan ibu bapa angkat) tidak pernah berubah, malah semakin kuat. Terima kasih mama abah!

"Buat ibu bapa kandung... adakah masih ingat 'anak hentian bas' ini, di hentian bas inilah saya ditinggalkan dengan baik 21 tahun lalu. Percayalah, saya terima kamu berdua seadanya, dan harap saya juga diterima seadanya. Saya rindu!,” katanya. - Sumber: mStar Online
loading...