Isnin, 23 Oktober 2017

Teruk Dipukul Kerana Curi Motor 125


LUNDU: Seorang lelaki ditangkap dan dibelasah oleh penduduk kampung ketika melarikan sebuah motosikal di Kampung Stunggang. Sarawak dekat sini, pagi tadi.

Menurut laporan Berita Harian Online, lelaki berkenaan merupakan seorang warga Indonesia itu bukan saja dibelasah malah turut dibogelkan oleh penduduk kampung sejurus ditangkap.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, kehadiran suspek bersama seorang lagi rakan senegaranya yang dalam keadaan mencurigakan, disedari penduduk kampung yang kemudian memantau pergerakan mereka.

Difahamkan, sejurus dua lelaki itu melarikan sebuah motosikal, penduduk kampung mengejar sebelum dapat menahan seorang daripada mereka, seterusnya membelasah dan membogelkan suspek sebagai pengajaran.

Panik melihat kejadian itu, rakannya melarikan diri bersembunyi di kawasan berlumpur, tetapi berjaya ditahan polis yang tiba di lokasi kejadian sejurus dihubungi penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Lundu, Deputi Superintendan Wong Chee Kiong ketika mengesahkan kejadian, berkata tindakan pantas penduduk kampung berjaya menahan suspek sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Suspek yang cedera di muka, badan dan kaki akibat bergelut dengan penduduk kampung, dihantar ke Hospital Lundu untuk rawatan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

"Seorang lagi suspek ditangkap ketika bersembunyi dalam kawasan berlumpur tidak jauh dari kampung berkenaan. Motosikal digunakan mereka turut disita," katanya ketika dihubungi BH.

Chee Kiong berkata, dua suspek berusia 26 dan 27 tahun itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda. -  Berita Harian Online





loading...