Selasa, 17 Oktober 2017

Tubuh Diratah, Payudara Dikerat

Myanmar - Malang bagi golongan wanita yang sentiasa di buru serta menjadi mangsa kepada kerakusan nafsu serakah askar-askar apabila menjadi pemuas nafsu mereka.

Ianya merupakan satu igauan ngeri buat golongan wanita Rohingya di Rakhine, Myanmar apabila bukan sahaja dijadikan pemuas nafsu askar-askar Myanmar malah mereka juga turut diseksa atau dibunuh.

Kejadian tersebut diceritakan sendiri oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Shunabi berusia 25 tahun mengenai kejadian yang menimpanya ketika kampungnya diserang oleh pihak tentera sebelum ini.

Shunabi memberitahu bahawa ketika kampungnya diserang dan dibakar, dia yang tidak sempat melarikan diri telah ditangkap serta diseret oleh pihak tentera Myanmar.

"Saya telah dirogol oleh mereka malah selepas itu mereka bertindak kejam dengan memotong payudara saya menyebabkan hampir setiap malam saya tidak dapat melelapkan mata, kesakitan itu dirasai sehingga kini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kem Pelarian Rohingya di Balukhali, Cox’s Bazar, Bangladesh.

Namun begitu dia bernasib baik kerana dia tidak dibunuh sebaliknya dilepaskan.

“Akhirnya selepas askar Myanmar tersebut pergi dari situ barulah saya berjaya menyelamatkan diri,” katanya yang berjaya menaiki bot untuk ke sempadan Bangladesh.

Namun begitu bukan sahaja mereka bernafsu binatang malah terdapat beberapa kekejaman lain yang dilakukan oleh mereka termasuklah menembak mati golongan kanak-kanak serta membakar rumah golongan rohingya.

“Ada juga anak jiran saya yang dibakar selepas mereka mencurahkan petrol ke badannya,” katanya.

Sementara itu terdapat juga seorang wanita yang dikenali sebagai Fattma berusia 30 tahun juga turut mengalami nasib yang sama seperti Shunabi.

“Kami akan dipukul jika melawan, mereka (askar), perlakuan kami seperti haiwan, kami tiada nilainya bagi mereka,” kata Fattma.

Menurut mereka tiada lagi tempat selamat bagi golongan wanita Rohingya untuk terus tinggal di bumi Myanmar.

“Kami sentiasa diburu, perasaan takut sentiasa menghantui kami…Jika tentera datang habislah kami semua,” katanya.

Balukhali yang merupakan antara kem pelarian tumpuan di Ukhia, Cox’s Bazar mempunyai lebih 48,000 pelarian Rohingya dengan lebih separuh darinya adalah merupakan pelarian yang baru tiba dari barat Myanmar sejak 25 Ogos lalu.


Askar Myanmar didakwa membakar rumah etnik Rohingya adalah bertujuan untuk menghalau mereka keluar dari negara yang majoriti adalah merupakan penganut Buddha.-Sinar Harian
loading...