Sabtu, 14 Oktober 2017

Tunku Mahkota Johor Dapat Putera Waris Takhta Kerajaan Johor.

JOHOR BAHRU: Jumaah Majlis Diraja dalam satu Percanangan Dalam (pengumuman) dikeluarkan hari ini, memaklumkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che' Puan Khaleeda Bustamam mendapat seorang putera yang juga waris kepada takhta kerajaan Johor.

Pengumuman Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli itu dimuat naik dalam laman web rasmi Johor Southern Tigers, sebentar tadi.

"Jumaah Majlis Diraja sukacita mengumumkan keputeraan seorang waris takhta kerajaan negeri Johor pada hari ini," katanya dalam pengumuman berkenaan.

Dalam kenyataan yang turut dimuat naik dalam laman web itu, memaklumkan Che Puan Khaleeda selamat melahirkan putera di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini, bagaimanapun tidak menyatakan waktu kelahiran ahli keluarga baharu Diraja itu.

Pada Jun tahun lalu, Tunku Ismail dan Che Puan Khaleeda menyambut kelahiran puteri sulung yang diberi nama Tunku Khalsom Aminah Sofiah. - Berita Harian Online

loading...