Ahad, 22 Oktober 2017

Wanita Maut Ditikam Sepupu Sendiri


KUANTAN: Seorang wanita maut ditikam pada muka dan bahu oleh sepupunya yang dipercayai penagih dadah di Taman Temerloh Makmur, dekat Temerloh, malam tadi.

Robiatul Ain Mahamod, 27, ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan tikaman di ruang tamu rumahnya selepas dipercayai bertengkar dengan suspek lelaki berusia 26 tahun itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nayan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 9.40 malam dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit kemudian.

"Jiran mangsa mendakwa terdengar bunyi bising dalam rumah itu kira-kira jam 9.20 malam, dipercayai pergaduhan antara mangsa dan sepupunya iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun

"Jiran mangsa terlebih dulu menghubungi bapa dan adik mangsa yang tiba di perkarangan rumah itu tidak lama kemudian.

"Mereka terpaksa memecahkan pintu yang berkunci dari dalam dan sebaik memasuki rumah itu, mangsa ditemui tertiarap di ruang tamu dengan kesan tikaman.

"Mangsa segera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini, untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia jam 10.37 malam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Othman berkata, bapa mangsa adalah seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Katanya, suspek ditahan pada jam 10 malam hasil maklumat awam, ketika cuba bersembunyi di sebuah rumah kosong terletak kira-kira 70 meter dari tempat kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui senjata yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian iaitu sebilah pisau dan gunting.

"Siasatan lanjut masih dibuat bagi mengenal pasti motif kejadian. Berdasarkan maklumat awal, pertengkaran dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek yang didakwa mencuri dan menagih dadah," katanya. - Berita Harian Online
loading...