Isnin, 27 November 2017

Dua Penunggang Maut Dalam Kejadian Berasingan

kredit Sinar Harian
HULU SELANGOR – Kemalangan maut melibatkan dua penunggang motosikal berkuasa tinggi termasuk seorang anggota Polis Bantuan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam kejadian yang berasingan di sini, semalam.

Pada kira-kira jam 3.45 petang,  dalam kemalangan di Kilometer 425.7 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Selatan), motosikal yang ditunggang oleh anggota polis bantuan berpangkat sarjan itu telah merempuh sebuah lori yang terbalik di lokasi tersebut.

Lori berkenaan dinaiki tiga pekerja yang sedang melakukan rondaan lebuh raya dari bukit Tagar, kata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai.

Menurut Bak Phai, tayar belakang sebelah kiri lori berkenaan dipercayai meletup secara tiba-tiba bermungkinan akibat pancit telah menyebabkan lori gagal dikawal sebelum terbalik di lorong kanan lebuh raya.

“Mangsa, Azmi Mohd Yusof, 53 dikatakan dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh bahagian tengah lori yang terbalik. Mangsa juga dikatakan menunggang motosikal jenis Kawasaki Z100.

Katanya lagi, “mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga pekerja dalam lori hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.”

Kredit Sinar Harian
Namun dalam kejadian yang berasingan, seorang lagi penunggang motosikal berkuasa tinggi maut apabila motosikal yang ditunggang telah terbabas sebelum berlanggar dengan sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 11 Jalan Batang Kali-Genting Highlands.

Mangsa yang berusia 31 tahun dari Bukit Sentosa, Rawang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dalam kejadian kira-kira jam 5.16 petang itu.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Aprilia 750 dipercayai terjatuh dan terbabas memasuki laluan bertentangan lalu melanggar kereta jenis Honda Oddesey, kata bak Phai.

Jelasnya, kereta berkenaan dalam perjalanan pulang dari Janda Baik ke Kedah dinaiki oleh enam beranak.

“Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat”, katanya lagi.


Mengikut kedua-dua kes kemalangan tersebut diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sumber: Sinar Harian. Editor: Atila Atasha
loading...