Selasa, 28 November 2017

Kanak-Kanak Sembunyi Bawah Bas Mahu Cari Ibu Bapa


CHINA - Dua kanak-kanak berusia sekitar lapan tahun sanggup bergadai nyawa dengan menyorok di bawah bas selama tiga jam dari rumah mereka semata-mata untuk bertemu ibu bapa mereka yang jauh bekerja di bandar.

Lapor media China, mereka tinggal di kawasan pedalaman di Nazuo, Wilayah Guangxi manakala ibu bapanya pula jauh bekerja di bandar. Kanak-kanak terbabit ditemui diselaputi lumpur oleh seorang pekerja keselamatan. Bas tersebut dipercayai berhenti di stesen di daerah Xilin selepas perjalanan sejauh 80 kilometer (km).

Kata seorang pekerja stesen bas, "mereka sangat kurus sehingga mampu menyelit di bahagian bawah bas itu dan sanggup menggadai nyawa dengan berpaut sepanjang perjalanan semata-mata rindu untuk menemui ibu bapa mereka."

Difahamkan sebelum itu, mereka dikatakan telah melarikan diri dari sekolah sebelum sesi pembelajaran bermula dan mencari ruang di bawah bahagian bas itu sebagai tempat untuk menyorok.

Dua kanak-kanak itu 'menumpang'  bas yang melakukan perjalanan dari Nazuo ke Baise kerana diberitahu saudara-mara bahawa ibu bapa mereka bekerja di sana.

Perjalanan yang mereka lalui agak jauh sehingga menyebabkan anggota kanak-kanak tersebut dipenuhi dengan lumpur sebelum dibantu oleh pekerja stesen itu dengan mencuci pakaian dan memberi makanan kepada mereka.

kata pekerja itu, "sebenarnya ibu bapa mereka bekerja lebih jauh iaitu di Wilayah Guangdong, namun saudara-mara bertindak dengan memberitahu bekerja di Baise sekadar untuk 'menyedapkan hati' mereka."

Namun dianggarkan terdapat sekitar 23 juta kanak-kanak terpaksa ditinggalkan di kawasan pedalaman negara itu, berdasarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)

Hal ini disebabkan ibu bapa masing-masing keluar bekerja di bandar besar seperti Guangdong.

 Mereka juga menegaskan bahawa kanak-kanak tidak boleh ditinggalkan bersendirian di rumah tanpa penjaga dan situasi itu telah menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak dalam kalangan aktivitis dan NGO. Sumber: Harian Metro. Editor: Atila Atasha
loading...